Rabu, 30 April 2014

KA - Manuskrip Tamadun Maya Ramal Gerhana Matahari Dipamerkan

Edisi : Keratan Akhbar

Sumber : Kosmo (24/12/2012)


 MANUSKRIP tamadun Maya dipamerkan di muzium perpustakaan Saechischen Landesbibliothek, di Dresden,timur Jerman kelmarin.


DRESDEN, Jerman - Satu manuskrip tamadun Maya pada abad ke-13 yang dianggap sebagai salah sebuah buku paling tua di dunia dipamerkan di muzium perpustakaan Saechischen Landesbibliothek di sini.


Manuskrip itu dikenal pasti sebagai satu manuskrip Maya pada tahun 1853.
 Sebelum tahun 1853, manuksrip itu yang dibeli oleh muzium tersebut pada 1739 dikenali sebagai Buku Mexico.


Manuskrip tersebut mengandungi 39 muka surat dibuat daripada serat kulit kayu.
Ia mengandungi gambar, nombor, hiroglif, kalendar, pengiraan bintang buruj, bulan dan gerhana matahari selain cuaca.


Hanya beberapa daripada 750 lambang dalam manuskrip itu telah diketahui setakat ini.
Pameran kod Maya akan berlangsung dari 24 Februari hingga 12 Mei 2012. - AFP

------------------------
Shafizu
Online Book Dealer

KA - Tamar Jalis Pinjam Nama Jin

KA - Terpinggir di Kedai Buku

Edisi : Keratan Akhbar

Oleh Siti Salmiah A Hamid
 Harian Metro : 31/01/2014


Sewaktu melihat sekumpulan kanak-kanak leka membelek komik manga yang sememangnya popular dari Jepun, tercetus di hati penulis untuk me­ngetahui lebih mendalam mengenai kewujudan komik.
Meskipun penulis masih tercari-cari definisi komik itu sendiri, secara ilmiahnya inspirasi penciptaan komik dikatakan bermula pada 1986 menerusi ‘Comics and Sequential Art’, Will Eisner yang mendefinisikan komik sebagai susunan gambar dan kata-kata untuk menceritakan sesuatu.

Manakala melalui ‘Understanding Comics’, Scott McCloud mengiktiraf komik sebagai jajaran imej bergambar dan lain-lain dalam urutan sengaja yang bertujuan menyampaikan maklumat atau menghasilkan tindak balas estetika pada penonton.

Beberapa edisi komik di abad ke-19 berjaya dikumpulkan oleh Muzium Victoria dan Albert yang dimiliki Heinrich Hoffmanns menerusi ‘Struwwelpeter’ dan Wilhelm Buschs dalam ‘Max und Moritz’ serta di abad ke-20, koleksi komik milik Rodolphe Topffers dalam ‘L Histoire Veritable de Monsieur Crepin’ (Paris, 1837) dan ‘Herrn Piepmeyer’ oleh Adolf Schrodters (Frankfurt, 1848).



 PEKOMIK sentiasa mengalu-alukan kemunculan bakat baru selain berusaha meningkatkan industri komik tempatan menerusi forum, lawatan, bual bicara dan menggalakkan ahlinya menyertai fiesta komik.


Di dalam negara sendiri, penyair Harun Aminurrashid (1952) memberikan definisi komik sebagai ‘cerita bergambar’ yang dirujuk kepada istilah kartun.

Justeru, definisi komik juga membawa pelbagai penafsiran, sekali gus membuktikan komik sebenarnya adalah medium bersifat sejagat merentasi semua lapisan masyarakat.

Penghasilan komik dan isi ceritanya mempunyai jalan cerita lebih serius, bersiri dan berkala bagi membolehkan orang ramai meneruskan pembacaan tanpa henti.

Ia mempunyai cerita tersendiri sama ada memaparkan kisah mengenai pendekar, penyiasatan, peperangan, kisah misteri dan mitos yang berkait dengan rakyat.

Penciptaan komik di Malaysia bermula seawal 1930-an apabila Mohd Ali Sanat (A.S) muncul dengan karikatur Wak Ketok dalam akhbar Utusan Zaman.

Pelukis komik ini turut menghasilkan Wak Keledek antara karikatur yang muncul sezaman dengan Wak Ketok sekali gus kedua-duanya menjadi siri komik perintis kepada perkembangan seni lukis komik di negara kita.

Nama seperti Raja Hamzah dan Saidin Yahya menerusi Badang dan Sultan Alauddin, Yusuf Idris bersama Othman Kangkong menerusi Kasih Adek Beradek II dan Musoh To’ Janggot, K Bali dan Nik Mahmood Idris yang menghasilkan komik berjudul Kasturi antara penghasil komik sekitar 1950-an.

Kedatangan Abdul Halim Teh dari Lenggong, Perak turut dianggap sebagai tokoh penting dalam sejarah komik Melayu di pertengahan 1950-an menerusi siri seperti Sumpah Ibu, Keris Berpuaka, Bidan Muda dan Tuah Adek.

Zaman perkembangan komik dilihat semakin meriah ketika memasuki era 1960-an apabila masyarakat mula memberi perhatian kepada kelahiran komik, sekali gus melahirkan ramai bakat baru dalam bidang ini serta persaingan antara syarikat penerbitan untuk menerbitkan lebih banyak komik di pasaran.

Lahirlah nama seperti Zar menerusi Jahanam, komik Inspector Rahman Bersabong Nyawa oleh Abd Razak, Alias Kulub, Osman Baru, Meor Shahriman Hassan, Sulaiman Awang, Hussein Saad, Mohammad Nor Khalid (Lat), Samudera Perwira, Shukor Lin, Rahman Bakree, Solihin Othman menerusi Putera Tun Kudin, Hambia E dan A Fauzi Yusof.

Tidak disangkal lagi, dunia komik bermula apabila cetakan akhbar diperkenalkan sekitar era 1930-an menerusi lukisan bergambar yang ketika itu digunakan sebagai kiasan dan isu seterusnya memikat pembaca serta menaikkan edaran akhbar.

Kekuatan itu digunakan sebagai alat komunikasi di dada akhbar seperti Utusan Kanak-Kanak, Warta Ahad, Warta Jenaka, Lembaga, Majlis dan Utusan Melayu yang memberi ruang kepada lukisan komik.

Meskipun dikategorikan sebagai ruangan kartun yang dilahirkan menerusi ruangan kecil, gabungan lukisan dan dialog berjaya melahirkan satu perkembangan siri cerita bergambar yang kini dikenali sebagai komik.

Perkembangan komik pastinya sudah melalui pelbagai era membolehkan ma­syarakat masa kini mendapatkan siri komik yang dibukukan, lebih tersusun, berwarna, mempunyai muka depan dan bermuka surat tebal berbanding di zaman dulu kala.

Bagaimanapun, komik komersial turut tidak lekang berdepan pelbagai konflik termasuk per­saingan, penolakan malah diskriminasi di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Tambahan pula tidak semua pihak menganggap komik kini mempunyai nilai sentimental, apatah lagi dengan kewujudan pelbagai komik versi antarabangsa, komik tempatan dilihat semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.

Konflik demi konflik terpaksa dihadapi komik tempatan bukan lagi perkara baru, biarpun komik seperti Anak-Anak Sidek, Aku, Kau Malaysia, Pahlawan Mimpi dan Liga Pendekar pernah mewarnai pasaran dengan sambutan hangat.

Pensyarah lukisan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Azhar Abdullah berkata, kesuraman dunia komik tempatan dipengaruhi arus kemunculan komik versi antarabangsa yang dilihat lebih mudah menawan perhatian masyarakat moden.

Menurutnya, pelukis komik pada hari ini menghadapi pel­bagai cabaran dan rintangan untuk meneruskan penghasilan sebuah komik.

“Kesukaran itu bukan saja berpunca daripada pelukis komik, tetapi juga daripada penerbit dan pengedar yang tidak yakin dengan jualan komik tempatan.

“Kebanyakan kedai buku terkemuka dalam negara lebih mengutamakan komik versi antarabangsa dan dilihat seperti menganaktirikan komik tempatan kerana diletakkan di barisan belakang rak jualan.

“Kekurangan beginilah me­nutup rezeki pelukis komik, sekali gus menghalang perkembangan komik tempatan di zaman ini,” katanya yang banyak menghasilkan Komik-M di bawah PTS Publication.

Dia yang serius dalam bidang komik sejak 2001 melahirkan rasa kesalnya kerana banyak peluang yang sepatutnya terbuka luas kepada pelukis dan penulis komik di Malaysia hanya dilihat sepi.

“Pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh pelukis komik bersiri. Pelukis, idea dan bahan penceritaan wujud, tetapi kekurangan penerbit dan pemasaran menghalang rezeki anak muda tempatan.

“Persaingan pula semakin meluas apabila komik antarabangsa lebih banyak diperkenalkan daripada menaikkan jenama komik tempatan. Lihat saja lambakan komik manga dari Jepun dan komik adiwira dari negara Barat yang tidak mempunyai unsur patriotik negara ini.

“Selain itu, tiada penerbit yang sanggup membayar komik ‘realism’ dengan menubuhkan kru komik terdiri daripada pelukis, penulis, pewarna, pelakar dakwat, grafik dan editor.

“Bakat mereka ini lebih dihargai di beberapa negara seperti Hong Kong, Jepun dan Amerika Syarikat kerana negara berkenaan menghasilkan komik mingguan dan bulanan,” kata mantan Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PEKOMIK) 2006 - 2012 ini.



PRESIDEN dan mantan presiden PEKOMIK bersama komik bersiri masing-masing.


PEKOMIK gesa beri peluang kepada pengkarya

Presiden PEKOMIK (2012 hingga sekarang), Faizal Mukhtar, 33, turut berharap peluang yang meluas diberikan kepada generasi baru dan lama kepada pelukis dan penulis komik tempatan.

“Pelukis komik kini tidak saja terarah kepada buku dan majalah, namun kemodenan membolehkan komik dihasilkan juga di dalam bentuk digital dan animasi.

“Di sini kerajaan perlu memainkan peranan untuk membolehkan penulis komik memperluaskan bakat, meraih populariti dan keuntungan sama ada menerusi pertandingan mencipta komik bersiri atau komik majalah atau menyediakan satu bentuk dana yang dapat membantu pelukis terbabit seperti mana yang pernah disediakan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

“Lambakan komik luar negara menyebabkan identiti komik tempatan terjejas, selain serangan digital disalah guna oleh perompak dan plagiat digital yang mahu menyenangkan diri sendiri hingga menyebabkan pelukis komik dan kartun mengalami kerugian,” katanya yang mengalu-alukan bakat muda dari sekolah, pengajian tinggi dan orang awam untuk menyertai PEKOMIK.


------------------------
Shafizu
Online Book Dealer

KA - Ilmu 20 sen

Oleh Zuhainy Zulkiffli
Harian Metro : 2014/03/01

 
Georgetown: Niatnya hanya mahu berkongsi ilmu dan atas faktor itulah seorang pemilik kedai buku tidak berkira dengan pelanggannya dan hanya menawarkan harga serendah 20 sen hingga RM15 bagi setiap naskhah bahan bacaan yang dijual di kedainya di tingkat satu bangunan Pasar Chow Rasta, di sini.
Antara judul buku paling lama disimpan ialah Woman’s Weekly Library setebal 63 muka surat yang dicetak pada 1972 dan dijual pada harga 20 sen hingga 50 sen sebuah.

Namun, pemiliknya Gulam Mohamed, 60, berkata, terdapat naskhah yang lebih lama iaitu sebuah buku kesusasteraan Inggeris berusia lebih 100 tahun yang sudah dijual kepada seorang pelanggannya beberapa bulan lalu.


Dia yang meminati bidang penulisan mengaku sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 25 tahun lalu dan mengumpul ribuan naskhah buku lama dan baru sebagai koleksi sebelum dijual semula kepada pelanggan.

Hidupnya juga sudah sebati dengan buku kerana mula berjinak dengan bidang itu sejak berusia enam tahun lagi, malah dia juga mampu menghafal tajuk buku dicari pelanggan yang berkunjung ke kedainya itu dengan mudah.


“Saya berasal dari India, tetapi menetap di Pulau Pinang sejak kecil lagi dan walaupun sebahagian besar hidup dihabiskan di kedai ini, saya sebenarnya baru mengambil alih perniagaan ini sejak enam tahun lalu selepas pemilik asalnya iaitu bapa saudara saya meninggal dunia.



 GULAM menyusun buku di kedainya di tingkat satu Pasar Chow Rasta.


“Ketika kecil saya juga kerap menghabiskan masa di kedai ini. Kerana itulah sifat saya tidak boleh berenggang dengan buku dan suka menghidu bau dakwat,” katanya.

Gulam juga seorang yang cermat apabila ribuan buku lama dan baru disimpan di kedainya itu disusun rapi di rak disediakan mengikut kategori termasuk komik, novel, majalah, buku sekolah, ulangkaji, perubatan, kejuruteraan, sastera dan klasik. Bukan saja buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Gulam juga menyimpan bahan bacaan dalam bahasa asing seperti Jerman, Perancis, Cina, Tamil dan Itali yang dianggapnya sebagai amat berharga walaupun tidak memahami isi kandungannya.

Walaupun tidak selaris buku dalam bahasa Melayu atau Inggeris, bahan bacaan itu tetap menjadi buruan warga asing yang menetap di Pulau Pinang serta pelancong berkunjung ke negeri ini.

“Ia adalah buku terpakai yang dibeli daripada pelanggan yang mana harganya ditentukan mengikut keadaan sesebuah buku itu lalu dijual semula kepada pelanggan lain berminat.


“Terlalu banyak buku di sini sehingga saya tidak dapat merekodkan jumlah semua judul dengan tepat, malah saya kini berhadapan masalah apabila tidak mempunyai ruang yang cukup bagi menyimpannya,” katanya.


Selain kedai milik Gulam, terdapat 22 kedai menawarkan buku terpakai di tingkat satu bangunan berkenaan.


“Ketika kecil saya juga kerap menghabiskan masa di kedai ini. Kerana itulah sifat saya tidak boleh berenggang dengan buku dan suka menghidu bau dakwat,” katanya.

Gulam juga seorang yang cermat apabila ribuan buku lama dan baru disimpan di kedainya itu disusun rapi di rak disediakan mengikut kategori termasuk komik, novel, majalah, buku sekolah, ulangkaji, perubatan, kejuruteraan, sastera dan klasik. Bukan saja buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Gulam juga menyimpan bahan bacaan dalam bahasa asing seperti Jerman, Perancis, Cina, Tamil dan Itali yang dianggapnya sebagai amat berharga walaupun tidak memahami isi kandungannya.

Walaupun tidak selaris buku dalam bahasa Melayu atau Inggeris, bahan bacaan itu tetap menjadi buruan warga asing yang menetap di Pulau Pinang serta pelancong berkunjung ke negeri ini.

“Ia adalah buku terpakai yang dibeli daripada pelanggan yang mana harganya ditentukan mengikut keadaan sesebuah buku itu lalu dijual semula kepada pelanggan lain berminat.


“Terlalu banyak buku di sini sehingga saya tidak dapat merekodkan jumlah semua judul dengan tepat, malah saya kini berhadapan masalah apabila tidak mempunyai ruang yang cukup bagi menyimpannya,” katanya.


Selain kedai milik Gulam, terdapat 22 kedai menawarkan buku terpakai di tingkat satu bangunan berkenaan.


------------------------
Shafizu
Online Book Dealer

Ahad, 27 April 2014

RM - Manusia Yang Keliru

Edisi : Relaks Minda


Manusia Yang Keliru


Manusia yang keliru,
Muncul di segenap penjuru,
1, 2, 3 hingga beribu,
Berbondong-bondong bersesak bagai kelkatu,
Yang terbang berlabuh di pepohon semalu.

Manusia yang keliru,
Jiwanya penuh menggerutu,
Buntu, pilu, keliru,
Bersarang di pinggiran kalbu,
Meronta-ronta mencari ruang waktu,
Menunjal kalbu memohon ilham menyerbu.

Manusia yang keliru,
Berpesta di Lorong Haji Taib 1,
Berderet-deret berceratuk di sirami neon lampu,
Dari jauh bagai gadis pemalu,
Bila di dekat, auuuuuuwwwwwwww,
Dengan suara macam jantan gitu,

Helooo bang! I tulen taaaaauu!
Kat halkum tu mana nak tipu,
Pakaian Allah saja yang tahu,
Terselak sana terselak situ,
Bodinya memang menggebu-gebu,
Lentik dan gediknya mencairkan nafsu,
Pemuas syahwat si jantan hantu.

Manusia yang keliru,
Berlengkar malas di jejambat Pudu,
Hilai tawa bagaikan bersatu,
Kepala lentuk penangan candu,
Tubuh longlai bermata kuyu,
Bersusul lagu dipalit pilu,
Sedih, pilu, sayu,
Diri renyai dimamah nafsu,
Bila ditegur, mata terjojol bagai jembalang tercabut bulu,
Marah giler konon la tu,
Sambil menyeru,
Ini duniaku,
Apa lu lu mau ganggu,
Ada gua kacau sama lu,
Kalau tak nak makan nasi ikut dagu,
Baik lu blah dulu,
Gua pernah telan orang lu tak tau,
Oiii! pergilah lu apa tunggu,
Gua mau lentuk dulu!

Manusia yang keliru,
Bersesak-sesak pula di kedai ekor berpintu satu,
Dihasut dajal bermata satu,
Sekali tikam, duit menyerbu bagai peluru,
Modal kecil, untung beribu,
Walhal dia buat-buat tak tahu,
Anak isteri di rumah bersyahdu pilu,
Makan nasi berlauk budu,
Harapkan ayahnya mampus buat dek gitu.

Manusia yang keliru,
Tak cukup itu,
Bomoh putar alam pula dituju,
Kononnya ditarik duit dapat beribu,
Manusia yang keliru pun khayal jadi orang kaya baru,
Biar orang kampung tahu siapa aku,
Biar mereka berebut buat aku jadi menantu,
Menantu yang keliru.

Manusia yang keliru,
Berlegar-legar di dataran merdeka di malam minggu,
Berpasang-pasang erat bagaikan irama dan lagu,
Berkepit rapat atas kapcai biru,
Sampai angin tak muat nak lalu,
Sambil dipulasnya minyak menderu-deru,
Sakit telinga bagai dicucuk batu,
Saling mencabar antara kau dan aku,
Siapa paling layak ditabal hero baru,
Hadiahnya minah rempit berbadan gebu,
Diratah sama gerombolan jantan keliru,
Lepas satu,satu,
Tak cukup itu,
Diminta member rakam aksi tak berbaju,
Kononnya pelakon hebat di alaf baru,
Apa peduli apa yang berlaku,
Janji umpan terhidang direntap dulu,
Sebelum masing-masing mengganas di jalan berbatu.

Manusia yang keliru,
Berasmaradana di segenap penjuru,
Di dalam semak di celah batu,
Si lelaki jiwang memasang ayat memujuk rayu,

I lap u,

U lap me too,
Sayang! kita terbang ke awan biru,
memetik gugusan bintang beribu-ribu,
Menyemai janji membelai rindu,
Lautan api sanggup dilalui,
Harimau belang sanggup diadu,
Badai thunami sanggup ditunggui,
Biar abang mati dulu,
Asalkan ayang selamat selalu,
Sambil tangan menggaru-garu,
Bagaikan tahu ke mana hendak ditujui,
Akhirnya badan dua bercantum satu,
Si gadis lemas terkulai layu,

Bersaksikan rimbunan buluh semambu,
Nikmat seminit menyesal bertalu-talu,
9 bulan mengusung perut berat membatu,
Lahirlah si kecil malang tak berayah tapi beribu,
Di buang ke longkang di celah kayu,
Dalam semak atas batu,
Bila di tanya tiada sapa mengaku,
Pandai buat bela tak tau,
Anak sapa la tu,
Sedangkan syaitan ketawa lihat anak adam keliru.

Begitulah selalu,
Pada manusia yang keliru,
Tak tau pilih mana yang satu,
Pahala ditinggal dosa dikejar dulu,
Sedangkan azab pedih bakal menunggu,
Saat dipanggil yang maha berkuasa atas segala sesuatu,
Yaitu ALLAH yang maha satu.

Shafizu 
Gombak 24/4/2014

MD - Apabila Ajal Sudah Menjemput

Edisi : Muhasabah Diri 


Dalam hidup, semuanya tidak pasti kecuali mati. Mati memang pasti. Sama ada kita bersedia atau tidak, bersetuju atau tidak, ingat atau lupa, suka atau berduka, mati tetap menjemput.

Mati tidak mengira status. Jika orang biasa boleh mati, VIP pun tidak terkecuali. Termasuk juga para doktor dan bomoh yang kerjanya pulihkan orang sakit juga boleh mati pada bila-bila masa. Apatahlagi orang sakit nazak yang berada diambang maut. Orang sihat juga boleh mati walaupun fizikalnya segar bugar tanpa penyakit

Mati menjemput di mana-mana. Tidak diawalkan sesaat tidak dilewatkan sesaat. Takkala sudah tersurat nasib hayat kita cuma sehingga masa tertentu, nyawa kita akan bercerai dari badan. Kita boleh saja eksiden di jalanan dan meninggal dilanyak puluhan kenderaan walaupun baru sekejap tadi masih bergelak tawa dengan rakan-rakan. Dalam ketiduran juga nafas kita boleh terhenti tiba-tiba. Sama ada kita berada di mana-mana - di darat, di laut, di udara ataupun kita berada di alam bunian sekalipun, kita tidak boleh menolak dan menahan hayat kita daripada berhenti berputar di alam nyata.

Tepatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...(an-Nisaa': 78)


Ada satu kisah menarik tentang kematian. Kisahnya berlaku di zaman Nabi Sulaiman a.s. Ketika Nabi Sulaiman a.s sedang berkumpul dengan beberapa orang sahabatnya, datanglah Malaikat Maut dengan rupa manusia biasa. Malaikat Maut itu merenung salah seorang sahabat Nabi Sulaiman a.s dengan pandangan yang aneh sebelum beredar.

Sahabat Nabi Sulaiman a.s yang perasan diperhatikan orang tersebut menjadi takut apabila diberitahu orang itu adalah Malaikat Maut. Lalu dia merasa tidak sedap hati dan meminta Nabi Sulaiman meniupkannya ke puncak negeri India. Nabi Sulaiman kabulkan permintaan sahabatnya dan memerintahkan angin supaya menerbangkan sahabatnya ke India.

Tidak lama kemudian, Malaikat Maut mengunjungi semula Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman a.s menanyakan apa hajat Malaikat Maut itu sehingga memandang sahabatnya sebegitu rupa. Lalu Malaikat Maut menjelaskan dia pada mulanya hairan kerana dia ditugaskan mengambil nyawa sahabat Nabi Sulaiman a.s itu di sebuah negeri di India, tetapi pada masa yang sama sahabat itu berada bersama-sama Nabi Sulaiman a.s. Bagaimana ia ingin ke sana, tempat yang begitu jauh pada masa yang sama.

Apabila Nabi Sulaiman a.s menerangkan permintaan sahabatnya yang meminta diterbangkan ke India kerana takut dengan Malaikat Maut tadi, Barulah Malaikat Maut faham keadaan sebenar. Kerana itu, apabila ia ke India, sahabat Nabi Sulaiman a.s itu telah berada di sana, di tempat yang telah ditentukan dan pada masa yang ditetapkan hinggalah nyawanya dicabut oleh Malaikat Maut tadi.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila telah datang tempohnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. (al-A'raaf: 34).

Sama-samalah kita sediakan bekal yang cukup sementara menanti maut yang bakal bertandang pada bila-bila masa.


Khamis, 24 April 2014

kedai Buku Online

Salam untuk semua.

Nak share sikit. Khas buat penggemar buku. Minat sangat kumpul buku tapi bajet plak.
Kalau rasa buku baru kat luar mahal-mahal harga, apa kata cuba cari di kedai buku online saya ; bukumurahpromail.blogspot.com.

Di kedai buku online kami, hampir semua buku baru. Ada juga buku terpakai tapi tak banyaklah. Walaupun buku baru,  diskaun kita bagi dasyat gile. 10% - 30% less. Kalau buku terpakai, 30% - 50% less. Memang murah. Berbaloi-baloi. Hari-hari diskaun tau. Bukan setahun sekali  macam jualan gudang mana-mana penerbit buku kat luar.  Kalau beli lebih dari RM100, tak payah bayar pos lagi. free jer. Bukan pos laju tapi, guna Pos Parcel. Kod hantar boleh trace. Jangan pening kepala.

Kalau servis di kedai buku online kami tak bagus, banyak songeh, buat buat report kat kami bila-bila masa. Key

Ok jom ke bukumurahpromail.blogspot.com.


Buku paling mahal di dunia

Salam untuk semua.

Nak tau buku apa paling mahal di dunia. Inilah dia bukunya.


 
Gambar fail bertarikh 12 April lalu, menunjukkan buku The Bay Psalm Book yang berjaya 
dilelong pada harga RM45.44 juta di New York, semalam. - AFP


Buku :  Terjemahan kitab Injil The Bay Psalm Book
Harga lelong : AS$14.2 juta (RM45.44 juta)
Tarikh dicetak : Tahun 1640
Negara terbit : Amerika Syarikat
Pengkarya :  Penduduk Puritan di Cambridge, Massachusetts  
Pelelong : Sotheby's
Penyimpan :  Perpustakaan Kongres di New York dan Perpustakaan Kolej Harvard
Nilai tinggi  :  Ikon dan juga artifak sejarah AS

Info penting : 
Sebanyak 1,700 salinan buku tersebut dicetak dan hanya 11 naskhah yang masih terselamat Buku ini telah membawa kepada New England mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Church of England.

Rekod : BUKU TERMAHAL DUNIA.

Artikel penuh : http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131128/lu_08/Buku-paling-mahal-di-dunia#ixzz2lvFFtlfP

------------------------
Shafizu
Online Book Dealer

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014

Salam untuk semua.

Berita gembira buat peminat buku semua. Jom terjah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) KL 24 April ni. Pesta buku terbesar di Malaysia yang kita setia nantikan saban tahun kembali lagi.  Bermula 24 April hingga 4 Mei 2014, dari jam 10.00 pagi - 7.00 malam.

Jom jumpa di sana.




Khamis, 17 April 2014

Salam Perkenalan

Salam untuk semua.

Ini blog dedikasi khas buat "fanatik tegar" dan "pengobses" buku di seantero Malaya.

Senarai entri :
1. Bedah Buku
2. Rekod Buku
3. Kedai Buku / Pesta Buku
4. Macam Macam Buku
5. Dunia Penulis
6. Muhasabah Diri
7. Relaks Minda
8. Isu Kontroversi/Sensasi
9. Rencah Hidup 

Selamat "menjamu selera" dengan bermacam aneka entri "juadah buku" yang kami sediakan.