Khamis, 22 Oktober 2015

Pustaka Buku Antik

Salam buat semua.

Buku baru dah berlambat kat pasaran. Setiap penerbit besar seperti PTS, DBP, Truewealth, Utusan Publication juga jual buku terbitan mereka secara online. Cuma buku baru saja. Buku terpakai mereka tak jual. Buku terpakai yang dijual secara online kalau adapun cuma di blog-blog milik individu.

Tapi kalau buku kategori antik, langka atau buku-buku yang dianggap rare saya belum jumpa lagi dijual di mana-mana blog khas. Kalau adapun, mereka cuma promosi dan jual di Facebook khas untuk group kollektor buku-buku lama.  Cuma satu saja  saya jumpa web yang jual buku-buku antik dan lama. Boleh kunjungi http://www.penangbookshelf.com. Agak menarik juga koleksi buku-buku rare-nya.

(***Kalau saya terlepas pandang ada lagi blog/web khas jual buku-buku kategori langka, antik, tolong bisik-bisik kat saya yer. Berminat sangat nak tau.)

Jadi, saya terfikir untuk buat blog khas jual buku-buku kategori antik, langka, rare termasuk juga buku bernilai tinggi. Buku kategori lama ni boleh kita anggap buku yang terbit tahun 80-an, 70-an, 60-an dan tahun-tahun ke bawah. 

Bolehlah tuan/puan semua kunjungi blog yang tak seberapa ni. 




Kalau ada mana-mana buku yang berkenan, nanti whatsapp jer bila-bila masa. 

Ok.

Semangat Yang Hilang

Salam buat semua.

Lama dah tak mencoret idea kat blog ni. Sekejap semangat membugar, sekejap juga semangat menguncup. Tapi kerana menulis ni kira macam hobi jugak. Lambat laun tangan jadi gatal jugak nak mencoret apa-apa kat blog ni. Tapi tak tahu lah semangat tu sampai bila. Doa-doakanlah. 



 

Khamis, 12 Februari 2015

Ketawaddukan Tuan Guru Nik Aziz Hingga Ke Nyawa Terakhir

Salam buat semua.



Jantung saya berhenti berdegup takkala mendengar berita tokoh ulama kesayangan ramai, yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kembali ke rahmatullah jam 9.30 malam  tadi. Kematian beliau betul-betul dimalam Jumaat, hari mulia kerana dapat terhindar dari seksaan dan fitnah kubur. Amin.

Pemergian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pasti ditangisi seluruh rakyat Malaysia. Satu kehilangan besar buat seorang tokoh ulamak yang sukar dicari ganti. Ketokohan, ketawaddukan, kelembutan dan juga kelantangan beliau memperjuangkan hak amat disegani kawan dan lawan. Bahkan pengaruh hebatnya dalam mencaturkan politik Kelantan amat dicemburui lawan.

Malah rekodnya memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun begitu membanggakan.

Jika ditanya kepada kawan saya pun, hampir semuanya amat sayang kepada tok guru walaupun dirinya sendiri biru karat.


Keistimewaan Tuan Guru

Kenapa Tuan Guru  Nik Abdul Aziz amat istimewa di mata rakyat Malaysia :

1.Memilih untuk terus tinggal di rumah kampung, rumah asal beliau. Rumah berdindingkan papan tanpa terisi kelengkapan rumah yang mahal-mahal. Yang ada hanyalah sebuah almari  dipenuhi kitab-kitab agama menghiasi sudut ruang tamu. Tiada pagar juga tiada pengawal.

2.Masih mengekalkan pakaian sunnah nabi – Hampir setiap masa berjubah dan berserban samada ke program parti maupun majlis-majlis rasmi lain.

3.Terus istiqamah mengajar kitab setiap malam Jumaat dan  Khamis, manakala kuliah pagi pula setiap Jumaat di masjid Pulau Melaka.

4.Ucapan serta ceramahnya begitu berkesan. Lantang, tegas, kadangkala lemah lembut diselang seli dengan unsur sinikal dan sindiran pedas yang mampu membuatkan peminatnya terhibur dan terpesona.

5. Menteri besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia seperti yang diiktiraf  Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK)

5. Mampu mengekalkan jawatan Menteri Besar Kelantan dalam tempoh lama - selama 23 
tahun, walaupun diasak hebat dengan pelbagai serangan dari pihak pemerintah.

6. Beliau diletakkan antara 50 tokoh paling berpengaruh di dunia tahun 2009 serta turut disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”

Untuk kita semua, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz ada  meninggalkan sedikit pesanan terakhir. Renung-renung dan amalkan.

"Teruskan perjuangan saya selepas saya tiada. Usia ambo 
kini lebih 81 tahun. Roh yang pergi pada malamnya jika 
tidak kembali, matilah ambo. Buatlah segala daya upaya
untuk memenangkan Islam di muka bumi ini sebelum
pergi bertemu Allah."


Marilah kita doakan semoga roh Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberkati dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Amin.

Jumaat, 6 Februari 2015

Memburu Buku Antik di Pasar Karat Taiping

Salam sejahtera buat semua.

Minggu lepas member ajak turun niaga di Kemunting, Perak. Kat sana  ada pasar pagi setiap hujung minggu sabtu dan ahad. Pasar pagi tu sebelah hentian bas Kemunting. Yang menariknya pasar pagi ni tak sama macam pasar pagi kat tempat-tempat lain. Kalau pasar pagi biasanya  jual barang baru ataupun barang terpakai. Tapi yang kat Kemunting ni bukan saja jual barang baru tapi diaorang ada juga jual barang-barang lama. Barang-barang antik. Macam-macam barang ada. Diaorang jual lambak macam pasar karat kat KL, kat Loken Ipohlah.    





Saya pergi dengan member 4 orang. Naik satu kereta. Singgah tidur rumah member kat Kuala Kangsar malam Sabtu. Pagi Sabtu terus bertolak ke Kamunting. Dekat 45 minit jugaklah.

Sampai sana lokasi wajib kena usha dulu tentulah abang penjual buku terpakai. Dia sorang jual buku kat situ. Kira dia sapu bersihlah sorang-sorang. Tak ada persaingan. Masyuk. Hahaha.... Yang bantu dia adalah beberapa orang, termasuk isteri dia barangkali.  Dia nak bukak sorang-sorang tak laratlah. 2 3 meja dia bukak. Buku bertimbun-timbun. Nasib baik abang ni guna van. Luas sikit ruang nak sumbat buku. Kalau kereta mahu tak overdose.







Semua buku dia jual buku terpakai. Majalah-majalah lama pun banyak juga dia jual. Buku-buku antik pun ada. Harga tak payah cakaplah. kalau buku tahun 70-an semua harga mencecah 40 ringgit ke atas. Tapi logiklah harga tu. 45 tahun dah usia buku tu. Memang dah boleh masuk usia emas.

Variasari Lama

"Banyak majalah Variasari bang. Berapa harga ni,?" tegur saya sambil tangan membelek beberapa buah Varisari yang berkenan di mata.

" Murah jer. RM?  je. Ambil banyaklah. Kan abis orang ambil,"  jawab abang tu sambil senyum lebar.

Masyuk!!!! senyum ada makna tu.




Saya ambil semua. Habil licin tak tinggal bekas. Ada dalam 60 buah juga. Melayang RM? pagi tu angkara Variasari.

 Belek punya belek buku tiba-tiba mata terpaku tengok beberapa buku lama. tahun 70-an. Asalnya saya tak minat kumpul buku lama tapi tiba-tiba pagi itu rasa macam roh buku lama meresap. Jiwa menggelegak bagai digeletek untuk dapatkan juga buku tu. Cek dompet nasib baik ada lagi baki bersisa. Selamat.




"Berapa abang boleh bagi buku ni bang,?" 

Abang tu mencapai beberapa buah buku lama yang saya hulur. Dia tercongak-congak fikir harga yang sesuai.

"Bagi RM80 jer." 

"Kurang sikitlah bang. ambil banyak ni," pujuk saya minta simpati sambil menunjuk majalah Variasari yang telah saya beli.

"Kurang sangat tak boleh lah bang. Ni buku lama. Susah dah nak dapat ni. Ni pun saya kira jual murah-murah jer. Tak apalah. Bagi RM65 kat abang. Tu kira last harga saya boleh bagi," terang abang tu sambil matanya menikam tepat anak mata saya meminta saya dapat setuju harga yang dia bagi.

"Ok-oklah."

Akhirnya saya sambar juga buku ni. Tak sangka minat buku lama berputik di Kemunting. Habis lagi dalam RM70 duit saya. Tak apalah. Buku antik ni bukan senang nak dapat. Lagi lama simpan lagi bernilai. Tak rugi. 

Laksamana Tun Tuah.

Buku Laksamana Tun Tuah ni saya cukup minat. Rare sangat. Tahun 1954. Dah 60 tahun usia. Kalau manusia dah ada anak cucu berdozen. Kalan ada sapa-apa nak beli pun kirim salamlah. Langkah mayat saya dulu. Hehehe......




 Pasar pagi Kamunting ni luas jugaklah. Tapi saya tak sempat nak pusing habis. Sibuk tolong member meniaga. Lagipun pukul 11.30 kitaorang dah berkemas untuk pulang. Tak tahan panas.

Nanti saya turun Pasar Karat Loken, Ipoh saya cerita lagak penjual buku-buku kat sana. Tentu lagi menarik kan.

Selasa, 27 Januari 2015

RH - Kelentong Jer Lebih!

Edisi : Rencah Hidup 

 Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.


Berniaga kena jujur. Tak boleh la nak menipu atau ada unsur-unsur nak kelentong. Rezeki jadi tak berkat. Panas. Lama-lama jiwa kacau jadinya.

2 jenis menipu dalam berniaga. Satu;  menipu jelas atau tipu atas darat kering kata orang kelantan. Boleh tengok. Boleh ukur. Satu lagi cakapnya macam boleh percaya tapi disebaliknya ada unsur-unsur kelentong terhormat. Nampak macam jujur tapi ada maksud tersirat. Supaya pelanggan tergoda dan beli cepat-cepat.
 

Menipu atas darat kering tu tak payah cerita. Budak sekolah pun tahu. Macam beli buah sekilo tapi berat buah tu tak sampai pulak sekilo. Ada juga letak buah baik kat atas  buah   rosak kat   bawah. Bab barang elektronik macam radio pula, kata semua ok. Tapi balik rumah sound start buat hal. Itu jelas nak pedajal pelanggan.

Yang ramai orang tak sedar unsur ala-ala kelentong masa berniaga. Macam mana?

1. Harga balik modal je bang!
"Tolonglah bang. Harga saya bagi ni cukup-cukup balik modal jer. Tak untung pun."
Padahal jual RM100 dah untung lebih separuh.
 

2. Harga special untuk abang!
"Harga ni saya bagi untuk abang jer. Orang lain saya tak jual harga ni. Betul bang."
Padahal dah berbelas orang beli harga lebih murah dari pelanggan tu.

3. Ni barang last stock bang!
"Ni saya nak kasi clear bang. Last stock. Habis yang ini dah tak ada dah."
Padahal berkotak-kotak lagi simpan kat stor.

4. Saya beli harga RM100 ni bang!
"Mahal ni bang. Saya pun beli harga dekat-dekat RM100. Jual RM130 untung sikit-sikit pun jadilah."
Padahal dekat kedai borong beli harga RM20 borong banyak-banyak.

5. Ori ni bang!
"Ori ni bang. Bukan made in China. Pakai puashati."
Padahal cina punya brand. Takpun penjual sendiri tak tahu ori ke tak. Main sembur jer. Janji pelanggan sambar cepat.

6. Ada orang nak ambil lagi mahal ni bang!
"Betul bang! Ada orang nak beli RM100 ni tadi.Tapi saya tahan harga."
Padahal tak ada orang tawarpun.


Sepanjang saya berniaga kecil-kecilan, inilah kata-kata yang sering keluar dari mulut sesetengah peniaga. Tujuannya cuma satu. Biar pelanggan tergoda dan beli. Jangan tak beli. Caranya, cuba memanipulasi pemikiran pelanggan supaya terlihat penjual tu jujur dan produknya yang terbaik.

Berdosa ke tak berdosa? Penjual tu sendiri tahu hukum jika apa yang dia kata tu betul ke tak betul sebenarnya.
 

Nak bagi laku barang boleh. Itulah pun sebenar tujuan menjual. Tapi, biarlah dengan cara yang betul.  Cakap jangan main pusing-pusing.  Pelanggan tak tahu tapi Allah tahu. Kan rezeki dari Allah. Allah redha lagi banyak rezeki dia bagi. Kenapa tak yakin?

Isnin, 26 Januari 2015

KA - Hikayat Raja Babi 200 Tahun Diterbitkan Semula

Edisi : Keratan Akhbar
Malaysiakini : 26/1/2015


 


  Lebih 200 tahun, manuskrip lama kurun ke-18 Hikayat Raja Babi yang lama tersimpan di perpustakaan British akan diterbitkan semula buat pertama kalinya dalam tulisan rumi April ini.

Tulisan seorang pedagang Jawa Usup Abdul Kadir pada 1775 itu akan dapat ditatap semula hasil inisiatif sebuah syarikat buku bebas bagi menyemarakkan dunia sastera tanah air.

Pemilik FIXI Amir Muhammad (kanan) berkata pihaknya merumikan tulisan dalam skrip Jawi itu bagi memudahkan pembacaan kerana ia mengetengahkan kisah menarik.

Hikayat Raja Babi bukan seperti beberapa hikayat lain seperti Sejarah Melayu yang ditaja oleh pihak istana, kata Amir.

Sebaliknya, tambah beliau, ia diusahakan sendiri oleh pengarangnya.

Hikayat  Raja Babi (merupakan) seorang manusia yang disumpah menjadi seekor babi, seorang yang sangat prihatin, gagah perkasa dan bijaksana,” katanya.

Amir berkata beliau memutuskan untuk menerbitkan semula karya itu setelah membaca artikel mengenainya dalam sebuah laman web yang menggalakkan perbincangan terbuka Projek Dialog pada November 2013.

FIXI merancang mengeluarkan 3,000 naskhah untuk cetakan pertama buku 200 halaman itu dan mengambil masa dua bulan untuk dirumikan.

Buku 200 muka surat itu dirancang turut memuatkan ilustrasi menarik.

Ia dirumikan oleh seorang penterjemah Arshad Pendang yang dapat membaca tulisan Jawi lama.

Hikayat Raja Babi dijadual akan menemui pembaca di pesta buku antarabangsa pada 24 April di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Jumaat, 23 Januari 2015

MD - Harga Segelas Air!


Edisi : Muhasabah Diri 

Salam sejahtera buat semua.
 

Ramai orang bertempik marah jika air kosong yang diminum kena cas sampai 50 sen hingga RM1 segelas. Mahal giler. Mencekik darah betul. Bukan sebab tiada duit untuk bayar tapi tak berbaloi untuk segelas air  kosong. Di sini duit lebih lebih berharga. 

Tapi bagaimana pula jika nyawa jadi taruhan. Berapa pula harga yang kita sanggup bayar hanya untuk segelas air. Jika nyawa jadi galang ganti, harga segelas air sanggup kita pertaruhkan walau berapapun harga yang perlu kita lunaskan.

Ada satu cerita menarik di zaman khalifah Harun Ar Rasyid tentang air. Saja saya nak kongsi. Kalau kita tahu harga segelas air yang sebenar disaat genting, kita tentunya akan lebih menghargai air.

Ceritanya begini. Satu hari, Al Imam Abu Yusuf Ra mendapat tahu khalifah Harun Ar Rasyid menunda waktu solat Asar. Al Imam Abu Yusuf rasa terkilan dengan sikap khalifah dan berniat untuk menegur.

Dia pun masuk berjumpa dan berbincang dengan khalifah dalam berbagai perkara. Ketika sedang berbincang itu, Al Imam Abu Yusuf minta segelas air. Setelah gelas air ada di tangannya, ia bertanya,
 "Ya Amirul Mukminin, kalau semua air di muka bumi ini tiada, kecuali segelas air ini, sedangkan anda haus sekali, berapa anda berani membeli air yang ada di tanganku ini?

Khalifah menjawab,
 "Aku berani membeli airmu ini dengan setengah kerajaanku!"

Abu Yusuf bertanya lagi,
 "Kalau air yang baginda minum itu tidak boleh keluar (tidak boleh buang air), berapa anda berani membayar doktor supaya boleh membuang air?"

Khalifah menjawab lagi,
 "Saya berani membayarnya dengan setengah kerajaanku ini!"

Al Imam Abu Yusuf kemudian berkata lagi,
 "Nah Amirul Mukminin, Allah Ta'ala telah memberikan air kepada baginda dan kepada seluruh rakyat kerajaan ini dengan meluas. Tetapi setelah diberi kenikmatan yang tiada taranya itu baginda "mensyukurinya" dengan menunda-nunda waktu solat Asar yang telah ditetapkan Allah Ta'ala!'
Imbang Penuh

***Moral ceritanya, selagi Allah beri kita nikmat air, bersyukurlah. Gunakan air sebaik mungkin dan jangan lupa Allah. Jangan biarkan air merajuk. Jika air merajuk sampai sukar dijumpai dan kita pula berada dalam situasi khalifah Harun Ar Rasyid, bukan setakat air kosong berharga seringgit kita boleh bayar, malah dengan kedai makan tu sekali kita sanggup bayar sebagai tukaran dengan segelas air.