Jumaat, 23 Januari 2015

MD - Harga Segelas Air!


Edisi : Muhasabah Diri 

Salam sejahtera buat semua.
 

Ramai orang bertempik marah jika air kosong yang diminum kena cas sampai 50 sen hingga RM1 segelas. Mahal giler. Mencekik darah betul. Bukan sebab tiada duit untuk bayar tapi tak berbaloi untuk segelas air  kosong. Di sini duit lebih lebih berharga. 

Tapi bagaimana pula jika nyawa jadi taruhan. Berapa pula harga yang kita sanggup bayar hanya untuk segelas air. Jika nyawa jadi galang ganti, harga segelas air sanggup kita pertaruhkan walau berapapun harga yang perlu kita lunaskan.

Ada satu cerita menarik di zaman khalifah Harun Ar Rasyid tentang air. Saja saya nak kongsi. Kalau kita tahu harga segelas air yang sebenar disaat genting, kita tentunya akan lebih menghargai air.

Ceritanya begini. Satu hari, Al Imam Abu Yusuf Ra mendapat tahu khalifah Harun Ar Rasyid menunda waktu solat Asar. Al Imam Abu Yusuf rasa terkilan dengan sikap khalifah dan berniat untuk menegur.

Dia pun masuk berjumpa dan berbincang dengan khalifah dalam berbagai perkara. Ketika sedang berbincang itu, Al Imam Abu Yusuf minta segelas air. Setelah gelas air ada di tangannya, ia bertanya,
 "Ya Amirul Mukminin, kalau semua air di muka bumi ini tiada, kecuali segelas air ini, sedangkan anda haus sekali, berapa anda berani membeli air yang ada di tanganku ini?

Khalifah menjawab,
 "Aku berani membeli airmu ini dengan setengah kerajaanku!"

Abu Yusuf bertanya lagi,
 "Kalau air yang baginda minum itu tidak boleh keluar (tidak boleh buang air), berapa anda berani membayar doktor supaya boleh membuang air?"

Khalifah menjawab lagi,
 "Saya berani membayarnya dengan setengah kerajaanku ini!"

Al Imam Abu Yusuf kemudian berkata lagi,
 "Nah Amirul Mukminin, Allah Ta'ala telah memberikan air kepada baginda dan kepada seluruh rakyat kerajaan ini dengan meluas. Tetapi setelah diberi kenikmatan yang tiada taranya itu baginda "mensyukurinya" dengan menunda-nunda waktu solat Asar yang telah ditetapkan Allah Ta'ala!'
Imbang Penuh

***Moral ceritanya, selagi Allah beri kita nikmat air, bersyukurlah. Gunakan air sebaik mungkin dan jangan lupa Allah. Jangan biarkan air merajuk. Jika air merajuk sampai sukar dijumpai dan kita pula berada dalam situasi khalifah Harun Ar Rasyid, bukan setakat air kosong berharga seringgit kita boleh bayar, malah dengan kedai makan tu sekali kita sanggup bayar sebagai tukaran dengan segelas air.

Tiada ulasan: