Rabu, 21 Mei 2014

KA - Jihad Noorshin Dalam Tulisan, Fesyen, Dakwah

Edisi : Keratan Akhbar

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

Kosmo : 21/5/14


NOORSHIN menunjukkan buku, The Beauty of Covering Up tentang keindahan menutup aurat yang diterbitkannya sendiri.


LANGKAH diatur perlahan sewaktu saya memasuki kediaman wanita bernama Noorshin Ng Abdullah, 60, yang terletak di Taman Sri Ukay, Ampang, Selangor. Ruang tamunya dipenuhi koleksi jubah dengan pelbagai rekaan menarik. Sekali imbas, ruang tersebut tidak ubah seperti butik pakaian.
Mata tertancap pada keunikan jubah yang disuntik elemen ceongsam rekaannya yang diperbuat daripada fabrik berkualiti, rekaan longgar dan moden. Busana sopan itu memberikan cita rasa oriental kepada wanita yang sukakan kelainan.
Kecintaan wanita berketurunan Cina itu kepada Islam tidak pernah padam sejak memeluk Islam ketika berumur 27 tahun dan beliau rela berkorban segala-galanya demi melebarkan syiar agama suci ini kepada masyarakat.
Pada usia emas, Noorshin dilihat masih gigih menghadiri majlis-majlis ilmu untuk menyampaikan dakwah terutama kepada saudara baharu.
Selain bergelar seorang penulis, Noorshin sebenarnya merupakan pengurus butik dan pereka fesyen busana Muslimah. Beliau menolak untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai satu keutamaan kerana tidak mahu aktiviti dakwahnya terjejas kerana dakwah adalah pekerjaan paling dicintainya.

REKAAN jubah ceongsam yang longgar dan diperbuat daripada fabrik berkualiti menjadi identiti Noorshin.


Berkongsi
Pengalaman menulis selama 15 tahun di beberapa majalah berunsur Islam menjadi pembakar semangat untuk Noorshin menghasilkan buku sulungnya bertajuk The Beauty of Covering Up yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
“Kalau dapat tolong seorang pun menutup aurat, saya sudah berpuas hati. Sekurang-kurangnya saya tidak membazir masa menulis buku ini.
“Apa-apa buku pun di dunia ini yang mengajar orang ke arah kebaikan adalah buku Islamik,” jelasnya tentang pemahaman terhadap buku-buku berbentuk motivasi.
Buku The Beauty of Covering Up merupakan buku bergenre keagamaan yang mengupas tentang perkongsian idea dan buah fikiran penulis terhadap keindahan wanita Islam menutup aurat bukan sahaja pada pakaian namun terhadap tingkah laku mereka.
Buku The Beauty of Covering Up turut menyelitkan rekaan jubah ceongsam yang dihasilkan Noorshin.


Terdapat banyak cara untuk menggayakan tudung atau hijab oleh kaum wanita secara ringkas namun pada masa sama masih kelihatan anggun. Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah menutup aurat dalam kesederhanaan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan.
Noorshin cuba meyakinkan wanita Muslimah agar tidak perlu terlalu berusaha memadankan setiap pakaian bersama aksesori kerana ada banyak lagi perkara penting yang perlu dilaksanakan selain mahu kelihatan sempurna.
“Cari jalan untuk menyembunyikan kecantikan anda. Jika pakaian tersebut menarik terlalu banyak perhatian, orang ramai mungkin tidak akan menundukkan pandangan mereka. Disebabkan itu, kita harus memastikan mereka hanya melihat apa yang diizinkan oleh kita sendiri,” katanya dalam petikan daripada buku tersebut.
Niat di sebalik perbuatan menutup aurat adalah untuk mencari keredaan Allah dan kepentingan berkelakuan baik kerana setiap Muslim adalah duta Islam pada setiap hari dan dalam setiap jalan.
Untuk makluman, buku tersebut dicetak dalam naskhah terhad dan bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi Noorshin di laman Facebook The Beauty of Covering Up atau e-mel kepada june1nn@gmail.com.
Beliau turut mengalu-alukan pihak luar yang berminat untuk menaja penerbitan buku tersebut pada masa akan datang.

Tiada ulasan: