Khamis, 8 Mei 2014

MD - 3 Misi Besar Syaitan



Edisi : Muhasabah Diri

 Salam sejahtera buat semua.




kredit foto : http://zulfiqry.blogspot.com



Kita bukannya maksum. Terpelihara dari segala dosa seperti para nabi dan rasul. Kerana itu, setiap saat dan masa kita perlu memohon ampun kepada Allah. Beristighfar banyak-banyak. Mudah-mudahan dosa kita diampunkan.

Itu jika dosa kecil. Jika dosa besar, dosa kita hanya terhapus dengan taubat nasuha. Dan jika kesalahan kita ada sangkut paut dengan manusia, kita kena minta maaf dari orang tersebut terlebih dahulu. Barulah mohon ampun dari Allah.

Bila kita bertaubat dan beristighfar banyak-banyak, Syaitan akan jadi makhluk yang paling kecewa. Sebab dia gagal dalam misi dia menjahanamkan iman kita. Kalau boleh biar kita jadi manusia yang paling derhaka kepada Allah. Membuat yang mungkar dan meninggalkan yang maaruf. Dan sudah tentulah Syaitan Iblis akan bertepuk tangan bersorak gembira kalau kita termakan hasutan mereka.

Dalam hal berbuat kebaikan terutamanya bab-bab ibadat, Syaitan ada 3 misi besar. Apa dia?

1. Jangan buat

Syaitan Iblis hari-hari hasut kita supaya jangan buat apa yang Allah perintah. Solat misalnya, akan dibisikkan di telinga kita supaya tak payah buat. Kalau buat untung lari. Itu kepada peniaga. Kepada "orang-orang besar" dibisikkan pula supaya teruskan meeting. Kalau solat terlepas agenda penting. Kepada pesakit berat dibisikkan pula supaya berehat lama-lama. Kalau solat, anggota bergerak-gerak. Nanti sakit datang balik.

2. Jika buat biar lalai

Bukan semua orang Syaitan boleh hasut. Kalau kita sentiasa ingat Allah, Allah akan sentiasa selamatkan kita. Tapi Syaitan bukan jenis makhluk cepat mengalah. Dia dah janji depan Allah akan sesatkan seluruh cucu cicit anak Adam sehingga hari kiamat. Jadi, kalau kita solat pun, Syaitan tetap akan kacau kita. Misi pertama gagal, dia cuba pula misi kedua. Misi kedua - biar kita lalai dalam solat. Bila lalai solat kita tak sempurna. Kalau solat tak sempurna, macam mana boleh cegah kita dari berbuat dosa.

Lalai ni boleh dalam macam-macam keadaan. Zuhur pukul satu petang. Pukul empat petang, dekat-dekat asar baru kita nak ambil air sembahyang. Ramai yang perangai macam ni. Sibuk sangat? Sesibuk Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz yang jaga satu Kelantan pun masih istiqamah solat di awal waktu.


Bila solat, Syaitan ganggu pula hati kita supaya lalai. Tiba-tiba kita teringat jam yang puas kita cari merata tempat sebentar tadi ada tersorok di celah almari. Tiba-tiba kita teringat petang besok kita ada lawan futsal dengan member. Dan banyak lagilah yang kita teringat tiba-tiba.


Kalau kita terlalai dalam solat, Syaitan pun akan ketawa gembira. Misi kedua dia dah berjaya. Tapi kalau kita kusyuk, Syaitan terpaksa pula cuba misi ke-3. Apa dia?

3. Sudah buat biar bangga dan riya' @ beritahu orang lain atau harapkan orang lain sebarkan kebaikan yang kita buat.

Ini peringkat akhir. Lepas perangkap Syaitan di peringkat pertama dan ke-2, belum tentu kita boleh lepas peringkat ketiga. Peringkat inilah yang boleh hancurkan amalan orang-orang soleh. Mereka solat tak tinggal, kusyuk dalam solat tapi dalam hati rasa bangga dengan solat yang dia buat.

Apa yang Syaitan akan bisik di telinga kita? Kau ni lagi bagus dari orang lain tau. Orang lain sedap tidur enak-enak tapi kau sanggup tahan ngantuk semata-mata nak solat subuh berjemaah di masjid.


Masa kita sumbang derma ribuan ringgit, Syaitan akan berbisik pula macam ni ; Kau kena derma banyak sikit. Baru orang tahu kau banyak duit. Orang lain derma sikit-sikit jer, kau derma banyak tau. Kau lah lagi bagus.


Kalau peringkat ke-3 ni kita selamat dari rasa bangga dan riya', dan ibadat kita semata-mata hanya kerana mengharapkan keredhaan Allah, maka selamatlah kita dari perangkap Syaitan. Insyaallah ibadat kita akan diterima dan diberi ganjaran oleh Allah.


Semoga kita selamat dari perangkap Syaitan di tiga-tiga peringkat ni. Yang selamatkan kita bukannya kerana kita tapi kerana Allah semata-mata. Jadi, kita kena mohon supaya Allah lindungkan kita dari hasutan dan bisikan Syaitan laknatullah yang tercela ini.

Tiada ulasan: