Ahad, 11 Mei 2014

Buku Jalanan Kian Jadi fenomena

Salam sejahtera buat semua.

Buku Jalanan ? Apa tu. Mungkin pertama kali kita dengar kita rasa pelik. Pelbagai tanggapan timbul. Adakah ia buku yang dijual di tepi jalan? Atau buku yang ditulis di tepi jalan ataupun  juga buku yang dibaca ramai-ramai di jalanan barangkali. Itu mungkin yang terlintas di kepala kita barangkali saat kali pertama kita dengar aktiviti Buku Jalanan dibicara.

Sebenarnya tanggapan tu semua terlencong jauh. Buku Jalanan, secara ringkasnya kita boleh fahami sebagai satu acara santai sekumpulan anak-anak muda berkongsi pinjaman buku percuma kepada orang ramai. Dengan hanya berikan nama dan nombor telefon, buku sudah boleh dipinjam secara percuma. Tarikh hantar biasanya dua minggu. Tapi kalau terlebih masa pinjam, anda tak dimarah atau diban. Cuma kalau dah percuma tu, faham-fahamlah nak tunaikan janji. Tanda kita berterima kasih.  

Buku Jalanan Taman Tasik Titiwangsa (kredit foto : facebook Buku Jalanan TITI)


Acara Buku Jalanan

Untuk hangatkan acara, berbagai aktiviti seni diadakan. Selain dapat pinjaman buku percuma tanpa sebarang bayaran, orang ramai juga boleh tonjolkan ekspresi seni mereka dengan mencoretkan apa saja yang terlintas di kepala  di atas kain atau kanvas yang disediakan penganjur. Tension hilang, bakat anda pun boleh tercungkil tanpa disedari.

Bagi pengunjung yang berbakat, khasnya dalam penulisan sajak dan puisi, boleh cungkilkan bakat terpendam dengan mendeklamasikan sajak secara terbuka di acara Buku Jalanan. Ada berani ?

Acara lain, bedah buku yang akan dikupas oleh tetamu jemputan. Mungkin tetamu tersebut penulis buku atau tokoh sastera yang tentu lebih memahami denyut jiwa anak-anak muda yang dahagakan ilmu.

Tapi satu acara yang paling menarik saya rasa. Aktiviti yang dinamakan Pasar Percuma. Bukan sebab percuma yang menarik, nanti kena tohmah kaki subsidi pulak. Cuma ideanya yang unik. Kalau kat luar, pasar tempat orang berjual beli. Hulur duit dan barang bertukar tangan. Tapi di Pasar Percuma di acara Buku Jalanan, barang-barang seperti alat tulis, pakaian dan pelbagai barang lain boleh diambil percuma saja tanpa perlu bayar satu sen pun. Macam tak logik kan idea tu. Tapi tak pelik kalau dipraktikkan. Itu yang saya fahamlah.


Sejarah Buku Jalanan di Malaysia

 Sebenarnya, Idea Buku Jalanan ni tercetus dari idea pinjaman buku menggunakan basikal di Amerika Syarikat. Lantas kerana idea ini unik dan menarik, dalam masa yang sama ia satu cara berkesan mendidik anak-anak muda minat membaca, maka sekumpulan anak-anak muda diketuai  Mohd Zikri Bin Abdul Rahman dan Mohd Azrie Bin Ahmad serta dibantu oleh Ihsan bin Hassan bersama rakan-rakan dari kolektif Mas Joko telah  menubuhkan komuniti Buku Jalanan sendiri bertempat di Shah Alam. 

Maka, pada tanggal  1 Oktober 2011, tertubuhlah  Buku Jalanan Shah Alam, Buku Jalanan pertama di Malaysia.

Tanpa sebarang publisiti meluas, tanpa iklan gempak di dada-dada akhbar, tanpa lantikan mana-mana duta di kalangan selebriti, Buku Jalanan tetap bergerak subur dan semakin bercambah-cambah. 

 Dan kini, menjengah tahun 2014, setelah dua tahun berlalu, sudah 16 cawangan Buku Jalanan ditubuhkan. Tahniah kepada aktivis-aktivis Buku Jalanan atas usaha gigih anda. 

Senarai Buku Jalanan berikut bolehlah anda semak. Mana tahu jika ia berada berhampiran tempat anda, boleh anda join sekali.

Jom, sama-sama kita sokong aktiviti anak-anak muda ini. Anak muda pencetus budaya membaca, menyemarakkan aktiviti seni dan yang terpenting sekali, hadirkan diri tanda sokongan tak berbelah bagi kita kepada aktiviti Buku Jalanan.


Rujukan lanjut :
1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Buku_Jalanan
2. https://www.facebook.com/bukujalanan
3.http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/10/15/buku-jalanan/ 


------------------------
Shafizu
Online Book Dealer


Tiada ulasan: