Rabu, 11 Jun 2014

Jangan Pinggirkan Sahabat Bernama “Buku” !



Salam sejahtera buat sahabat semua.

Kalau kita nak catatkan faedah dari pembacaan buku tak tercatat kita. Banyak. Sangat banyak. Kerana banyak kelebihan hanya dari sebuah buku, itu agaknya si ulat buku tegar agak ralit dengan buku di tangan. Tidak boleh berenggang walau sekejap. Orang kata makan berulamkan buku, tidur berbantalkan buku, mandi bersiramkan buku. Setiap masa teringatkan buku. Termimpi-mimpikan buku dan terindu-rindukan buku.

Siapa boleh nafi buku boleh jadi teman pendamping waktu kita sunyi dan berseorangan. Teman pengubat sedih waktu kita berduka, teman petunjuk jalan waktu kita tersasar arah,  teman perungkai jawapan ketika  kita tercengang hilang punca, teman penyuntik semangat saat kita diasak seribu satu masalah. Buku adalah segala-galanya.

Jika buku boleh jadi sahabat setia, kenapa kita pinggirkan “mereka”. Tidak sudikah kita berkawan dengan “mereka”. Mereka boleh jadi sahabat kita. Percayalah.  Sahabat yang bersedia bersama dikala kita senang bahkan saat kita rebah sekalipun, buku akan jadi penyelamat  memimpin tangan kita melewati ranjau yang penuh berliku di hadapan.

Dalam buku motivasi terkenal “Jangan Bersedih” karya Aidh Abdullah Al-Qarni, tokoh terkenal ini mencatatkan beberapa faedah yang kita boleh dapat dari membaca dan menelaah. Amat menarik sekali pandangan beliau.

1.Membaca dapat menghalau perasaan was-was, cemas dan sedih.

2.Membaca dapat menghindarkan seseorang supaya tidak tenggelam dalam hal-hal batil.

3.Membaca dapat menjauhkan kemungkinan seseorang untuk berhubungan dengan 
orang-orang yang menganggur dan tidak mempunyai pekerjaan.

4. Membaca dapat membiasakan lidah untuk bercakap dengan baik, menjauhkan kesalahan ucapan, dan menghiasinya dengan sastera dan kefasihan.

5. Membaca dapat mengembangkan akal, mencerahkan fikiran, dan membersihkan hati nurani.

6.Membaca dapat meningkatkan ilmu dan mengembangkan daya ingatan dan pemahaman.

7.Dengan membaca orang dapat mengambil pengajaran dari pengalaman orang lain, kebijaksanaan dari kalangan manusia yang bijaksana dan pemahaman para ulama.

8. Mematangkan kemampuan seseorang untuk mencari dan memproses pengetahuan, untuk mempelajari bidang-bidang ilmu yang berbeza dan penerapannya dalam hidup yang nyata.

9. Menambah keimanan khususnya ketika membaca buku-buku karangan muslimin. Sebab buku merupakan pemberi nasihat yang paling mulia, pendorong jiwa yang paling besar dan penyuruh kepada kebaikan yang peling bijaksana.

10.Membaca dapat membantu fikiran supaya lebih tenang membuat hati supaya lebih terarah dan memanfaatkan waktu supaya tidak terbuang sia-sia.

11. Membaca dapat membantu memahami proses pemilihan “kata” secara lebih terperinci pembentukan ‘kalimah’ untuk menangkap konsep dan untuk memahami apa yang berada di sebalik tulisan.

Jadi, jika begitu banyak sekali kelebihan dari pembacaan sebuah buku, apa tunggu lagi, ambillah sebuah buku, belek helaiannya satu-persatu dan tekuninya hingga hati kita betul-betul  akrab dan seronok berdamping dengan sahabat baru kita itu.

Tiada ulasan: