Salam sejahtera buat sahabat semua.
Bila banjir besar melanda Manek Urai, Kelantan baru-baru ini, ramai penghuni yang terlibat dengan banjir menangis sedih. Sedih bukan sebarang sedih. Sedih hingga hilang kata-kata. Kenapa tidak. Kalau semua harta benda musnah ditenggelami banjir. Lagi sedih bila rumah yang jadi tempat berlindung sejak sekian lama lenyap tidak bersisa. Hanya tinggal tiang saja.
Bila rumah tenggelam nampak bumbung aja, almaklum semua barang kat dalam dan luar rumah habis tenggelam sama. Kereta, motor, peti sejuk, mesin basuh, perabut, tv, tilam termasuk semua bahan bacaan hampir pasti rosak teruk. Rosak bila lemas terperap dalam air lumpur berhari-hari. Kalaupun masih boleh diguna, itu kira bertuah sangat. Barang-barang elektrik, termasuk kereta, motor boleh lagi dijemur hingga kering. Lepas kering, cuba pasang semula. Badan tidak terjejas. Kalau rosak pun cuma wayar-wayar kat dalam tu merajuk barangkali bila tak tahan sejuk, lenjun terendam air. Itu pun masih boleh berfungsi jika kena jampi dengan tukang baiki yang handal.
Begitu juga dengan kain baju. Rasa tak jadi masalah sangat bila jadi mangsa banjir. Masih boleh dibasuh dan dijemur hingga kering semula. Dah kering, pakai balik. Cuma, kalau kain baju yang jenama top-top, mungkin ada kesan sikitlah. Serinya dah hilang sikit.
Itu kalau rumah yang setakat tenggelam banjir saja. Kalau rumah yang musnah teruk - tenggelam menyembah bumi, hanyut tanpa dikesan, hatta yang tinggal tiang saja, gerentilah semua barang kat rumah tu dah jadi arwah! Reda jelah.
Kalau mangsanya bernama "buku", bagaimana?
Hampir pasti ini kali terakhir "sang buku" menghirup udara segar. Penghujung ceritanya, samaada tukang belanya sudah bertukar tangan - dibela sang penjual besi buruk, sang penjaga pusat kitar semula, sang pembaca yang obses dengan buku lelong - ataupun lebih sadis, sang buku sudah bersemadi bersama-sama kawan baru dalam bekas pengumpul sampah. Kalaupun sang pemilik asal masih ada rasa simpati, mungkin buku-buku yang masih ada nilai dan berharga, tetap akan disimpan rapi dalam jagaan.
Kepada kawan-kawan buku yang belum diuji dengan basahan banjir, jangan tergelak. Anda barangkali jadi mangsa seterusnya. Nasib anda mungkin lebih buruk.
Kita tengok apa jadi kepada mereka usai lenjun disiram banjir.
1. Jika anda buku baru, nilai jualan anda sudah menurun 50%. Kalau sebelum ni harga anda RM20, bila dah basah, ada kesan air yang teruk, harga diri anda sudah jadi RM10.
2. Kalau anda buku terpakai, dan ada nilai tinggi, mungkin masih boleh dijual tinggi. Tapi kalau buku biasa-biasa lambatlah bertukar tangan. Harga jual buku terpakaipun dah separuh harga. Kalau basah terkena air, teruk pulak tu, tak tahulah berapa lagi harga diri anda. Itu kalau fizikal anda masih ok-ok. Kalau dah lusuh sana - lusuh sini sebelum terkena air banjir, alamak kalau terendam dalam banjir berhari-hari jawapnya lunyai tak bersisalah.
3. Kalau anda sekadar dibaca dan disimpan, terpulang pada tuan anda lah. Kalau anda pandai buat tuan anda jatuh hati, anda beruntung. Anda tetap dijemur kering. Lepas tu disimpan cantik di atas rak semula. Anda sangat bertuah punya tuan baik hati.
4. Kalau anda sekadar memenuh rak, nasib anda hampir pasti. Kalau tak "diusir" ke kedai besi buruk, anda tetap dihumban ke bekas sampah. Menangislah anda sorang-sorang.
Begitulah alkisah si malang bernama buku.Saat tubuh anda mekar, segar, mantap, anda digila-gilai. Tapi bila jasad anda tercalit lumpur, lembap, layu dan relai, anda dipingir-pinggiri.
Sabarlah wahai sang buku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan