Kosmo : 9/7/2014
Oleh Hafiz Ahmad
|
KUNJUNGAN ke Perpustakaan Negara, Jalan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur Jumaat lalu sedikit berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Langkah yang diatur ke Pusat Hipermedia di tingkat dua terhenti apabila terlihat satu ruang baharu yang menarik pandangan mata.
Berkeluasan 1,207 meter persegi, ruang yang dinamakan Perpustakaan Bestari Samsung (PBS) itu tampak moden dengan dipenuhi puluhan gajet berteknologi tinggi seperti tablet, komputer dan komputer riba.
Tambah menggembirakan hati remaja Husna Iwana Mohd. Johan, 17, apabila melihat ruang interaktif e-majalah dengan hanya perlu menyentuh pada skrin Samsung LFD (paparan format besar) bersaiz 46 inci.
“Selain dapat memilih majalah digital yang digemari, saya juga boleh menonton video yang ada dalam naskhah tersebut,” ujarnya ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, Kuala Lumpur itu memberitahu, pembukaan PBS membuatkan pembelajarannya lebih mudah dan cepat berbanding kaedah lama.
Sering mengulang kaji di Pusat Hipermedia sebagai persediaan Sijil Pelajaran Malaysia bersama-sama rakan sekelasnya, Husna menambah, dia tidak perlu lagi mencari bahan atau buku fizikal kerana ia boleh didapati secara digital di PBS.
“Bahan rujukan boleh diakses menggunakan gajet-gajet yang terdapat di PBS. Ia senang digunakan kerana fizikalnya yang lebih kecil dan mudah alih,” ujar gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu lagi.
Kata Husna, di Pusat Hipermedia pengguna hanya boleh mengakses internet menggunakan komputer tetapi di PBS, mereka juga dapat mencuba gajet-gajet yang terdapat di ruang itu.
Perkara sama turut diakui oleh Mark Pathianathan, 15, yang pertama kali datang ke Perpustakaan Negara ditemani rakan sekelasnya, Victor Chua Min Chun, 15.
Canggih
Menurut Mark, dia tidak menyangka Perpustakaan Negara mempunyai fasiliti yang canggih dengan kelengkapan peranti berteknologi tinggi daripada Samsung.
“Sebelum ini, kakak saya ada memberitahu bahawa dia sukar mencari bahan rujukan di perpustakaan. Sejak adanya PBS, ia telah menyelesaikan masalah tersebut,” ujarnya.
Kedua-dua pelajar SMK Datuk Lokman, Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu berkunjung ke Perpustakaan Negara untuk mencari bahan rujukan bagi kerja kursus Bahan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mengenai sejarah perpaduan kaum.
Selain mencari bahan melalui buku-buku, mereka turut mendapatkan maklumat secara dalam talian di ruang kerja yang menempatkan empat unit Book 9 Lite Touch dan komputer meja AIO ATIV One 5.
Bagi seorang pengunjung, Hailmy Rizuan, 33, PBS boleh dijadikan satu tarikan kepada orang ramai terutamanya generasi muda untuk datang ke Perpustakaan Negara.
Ujar ahli perniagaan itu, usaha Samsung tersebut dilihat membawa anjakan baharu kepada industri pembukuan dengan merancakkan lagi pendigitalan bahan bacaan.
“Bagaimanapun, ia perlu seiring dengan penghasilan bahan bacaan bercetak kerana jika tidak, pasti akan mewujudkan jurang penerbitan antara kedua-dua medium ini,” ujarnya.
Dilancarkan pada 16 Jun lalu, PBS terbahagi kepada empat konsep khusus iaitu kanak-kanak, interaktif, bacaan dan kerja.
Percuma
Setiap ruang tersebut diletakkan peranti terkini Samsung yang boleh digunakan secara percuma oleh pengunjung.
Terdapat lebih 60 peranti Samsung untuk para pengguna yang terdiri daripada pelbagai model tablet dan skrin berformat besar.
Di ruang kanak-kanak yang membolehkan pengunjung berumur sembilan hingga 12 tahun menggunakan tiga unit Galaxy Tab 3 Kids dan 12 unit Galaxy Tab 10.1.
Peranti tersebut dilengkapkan dengan perisian permainan video dan bahan bacaan digital ringan yang menghiburkan pengguna.
Lebih 2,500 e-book pelbagai genre dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina disediakan di zon bacaan. Kandungan sampingan seperti e-majalah, e-akhbar dan laman web interaktif boleh diakses di zon interaktif.
Zon kerja pula menyediakan Office Suite dan penerbitan e-book untuk para penulis berbakat.
Pengguna hanya perlu mendaftarkan e-mel dan nombor kad pengenalan untuk menggunakan perkhidmatan yang terdapat di PBS.
Setiap peranti yang digunakan, diperuntukan masa selama tiga jam bergantung kepada keadaan dan keperluan.
Menurut Pembantu Perpustakaan, Nurul Huda Ahmad Zainuddin, 32, jika jumlah pengguna tidak terlalu ramai, mereka boleh menggunakan peranti melebihi masa yang diberikan.
“Selepas tiga jam, peranti yang digunakan akan mengeluarkan pop-up sebagai peringatan untuk proses pemulangan,” ujarnya.
Sejak dilancarkan, PBS menerima jumlah pelawat yang menggalakkan terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah.
Setakat ini, lebih 300 orang telah menggunakan perkhidmatan percuma tersebut.
Perpustakaan Negara mempunyai 95,984 bahan digital daripada jumlah keseluruhan 4.05 juta unit bahan bacaan.
Dari semasa ke semasa, lebih banyak bahan-bahan bacaan digital diterbitkan sebagai kemudahan kepada pembaca
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan