Sesiapa saja yang pernah berulang-alik dari Pantai Timur ke
Kuala Lumpur pasti melalui satu terowong panjang di laluan Karak Highway.
Tempat tu semua orang tahu - Genting Sempah. Kalau kita pandang ke atas, tak
nampak apa-apa. Kanan kiri hutan tebal. Tepinya pulak gaung dalam beratus-ratus
meter ke bawah. Itu siang. Tapi diwaktu malam, walaupun kita berada sejauh
Kuala Lumpur sekalipun, kita akan nampak cahaya terang lampu berkelip-kelip
dari jauh, di puncak gunung.
Itulah dia Genting Highlands Resort, pusat hiburan dan peranginan mega yang telah mengangkat nama seorang tokoh perniagaan terkenal Malaysia, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong sebagai orang terkaya di Malaysia malah turut memahat nama sebagai salah seorang individu terkaya di dunia suatu ketika dulu.
Cerita bagaimana jerit perih Lim Goh Tong membangunkan Genting Higlands Resort ada saya baca dalam buku autobiografi beliau, “Cerita Saya”.
Buku “Cerita Saya” amat menarik. Amat menyentap jiwa saya. Terkadang
terdetik di benak rasa kekaguman yang amat, (bukan kerana terbinanya Genting Higlands
– pusat judi terbesar di Asia Tenggara), tetapi semangat kental dan tidak mudah mengalah yang sebati dalam diri
tokoh ini sehingga mampu memanjat tangga kejayaan yang amat mengagumkan.
Ini mungkin kerana tiga proses jati diri yang dibentuk sejak kecil – seperti yang diluahkan dalam prakata awal bukunya, Cerita Saya. Tiga prinsip penting iaitu hidup sederhana dan berdisiplin, menepati janji serta percaya pada kuasa keyakinan. Prinsip yang wajib mendarah daging dalam diri kita jika kita ingin berjaya juga seperti beliau.
Mula
Berniaga
Autobiografi “Cerita Saya”, diolah dengan gaya bahasa yang santai dan amat mudah difahami. Menceritakan riwayat hidup Lim Goh Tong sejak kecil, iaitu sejak dari beliau membesar di kampung halaman di Anxi, sebuah daerah di wilayah Fujian, China sehinggalah beliau mengambil keputusan belayar ke Tanah Melayu dan membina nama dan pengaruh di sini.
Seperti dikisahkan dalam buku ini, sifat usahawan Lim Goh Tong telah terdedah sejak kecil dengan membantu ayahnya menjual benih sayur, daun teh serta barang-barang lain di tempat kelahiran beliau. Namun, jualan perniagaan beliau yang semakin merosot akibat perang saudara yang berterusan telah menyebabkan beliau nekad berhijrah ke Tanah Melayu – satu keputusan penting yang membawa perubahan terbesar dalam hidup beliau.
Sebelum berjaya membina empayar Genting Higlands, Lim Goh Tong turut berkongsi kisah suka duka beliau sewaktu awal-awal berniaga di Tanah Melayu waktu itu. Bermula dengan berniaga kecil-kecilan menjual daun teh dan Tiger Balm, beliau tidak menoleh ke belakang lagi mengembangkan berbagai jenis perniagaan sehinggalah pada tarikh keramat, 8 Mei 1971 apabila “syurga idaman” beliau - pusat peranginan Genting Hinglands memulakan perniagaan rasminya.
Tidak
Pandai Berbahasa Inggeris
Satu hal nyata yang menimbulkan kekaguman kepada pesaingnya – Lim Goh Tong sebenarnya tidak pandai berbahasa inggeris. Kita sendiripun mungkin puas berfikir, tanpa menguasai bahasa inggeris – bahasa terpenting dunia, bagaimana tokoh yang sebegini hebat, malah pernah dinobatkan oleh majalah Forbes Asia sebagai orang terkaya di Asia mampu mengembangkan perniagaan beliau ke peringkat dunia.
Bagaimana beliau menguruskan kekurangan tersebut ada dibongkarkan dalam “Cerita Saya”.
Kerana ketokohan beliau, tidak hairanlah Tan Sri Lim Goh Tong telah dinobatkan oleh majalah Forbes Asia sebagai orang terkaya di Asia dengan jumlah aset US$42.2bil (RM160.6 bil) pada tahun 2006 hingga beliau meninggal dunia pada 23 Oktober 2007.
Kepada Lim Goh Tong, dua pesanan berharga dari ibu bapanya akan tetap kekal di ingatan. Pesanan yang dianggap pendidikan terbaik yang membentuk beliau menjadi tokoh perniagaan terkemuka Malaysia yang telah membawa Genting Group menjadi konglomerat bertaraf dunia dengan aset berbilion-bilion ringgit.
“Kekayaan
sederhana datang daripada jimat cermat manakala kekayaan besar adalah kehendak tuhan”.
“Berbuat baiklah kepada orang lain, nanti
adalah caranya kebaikanmu dibalas”.
Sebelum saya tutup cerita dalam edisi Bedah Buku ini, ada baiknya saya kongsikan sedikit cerita bagaimana pahit maung Lim Goh Tong membangunkan Genting Higlands yang saya baca dalam buku autobiografi beliau, “Cerita Saya”.
Kita ikuti cerita Lim Goh Tong berikut.
1. Ideanya bermula ketika umur bersara - hampir 50-an.
Usia 50-an, ramai orang dah mula fikir hendak main-main dengan cucu, hendak jaga ayam kerbau, hendak duduk di masjid, tapi tidak dengan Lim Goh Tong. Dia tidak pernah terfikir untuk bersara. Bahkan dengan kewangan selesa, dia tetap sanggup mengambil risiko kerana baginya, bila-bila saja adalah waktu terbaik untuk memulakan sesuatu teroka niaga, terutamanya yang tidak dianggap menarik oleh orang lain.
2. Orang kata dia gila, bodoh dan digelak kawan-kawan.
- Bila dia kata nak bangunkan kawasan hutan, di puncak Genting Sempah sebagai kawasan peranginan terkenal, ramai kawan dan rakannya tercengang tidak percaya. Ada kata dia gila dan ramai juga yang gelakkan idea dia. Bahkan ada seorang rakannya kata ideanya seperti cerita ajaib dalam Hikayat Seribu Satu Malam.
3. 9 hari 9 malam panjat dan periksa gunung.
Lim Goh Tong bentuk satu pasukan seramai 20 orang untuk meninjau dan memeriksa keadaan gunung. Beliau dan pasukannya terpaksa merentas hutan rimba tebal, mendaki banyak gunung curam, dan menyeberangi banyak anak air dan sungai, sebelum sampai di puncak Gunung Kali.
4. Terpaksa mengadap Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia.
Idea Lim Goh Tong diterima baik Tunku bagaikan bulan jatuh ke riba. Kebetulan kerajaan memang apa perancangan untuk bangunkan Gunung Kali. Tapi atas beberapa kesulitan, rancangan itu terpaksa diketepikan. Supaya rancangan itu tidak dikecam pembangkang, yang pada masa itu pihak kerajaan terlibat konfrontasi dengan Indonesia, maka Tunku merasakan lebih wajar sektor swasta yang terlibat membangunkan gunung tersebut. Akhirnya syarikat Lim Goh Tong yang terpilih.
5. 15 tahun untuk bila jalan masuk berjaya disingkatkan.
Sukarnya membina jalan ke puncak hinggakan hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati untuk membina jalan masuk saja perlukan masa 15 tahun. Tapi atas penilaian semula dan kesanggupan Lim Goh Tong sendiri, tempoh membina jalan disingkatkan dari 15 tahun kepada 6 tahun, dan akhirnya kerajaan memutuskan perlu jalan masuk tersebut perlu disiapkan dalam tempoh 3 tahun dengan subsidi sebanyak RM9000, 000 jika berjaya menyiapkannya dalam tempoh tersebut. Lim akhirnya berjaya juga menyiapkan jalan masuk dalam tempoh yang dianggap tidak logik itu.
6. Kerja 24 jam 7 hari seminggu.
Kerana tempoh 3 tahun untuk siapkan jalan masuk sangat singkat dan tidak logik, Lim dan pasukannya terpaksa bekerja keras 24 jam 7 hari hari seminggu. Tiada hari rehat, baik hari minggu mahupun hari cuti.
7. Terpaksa tinggal di dalam hutan dan gua.
Untuk menjimatkan masa, Lim Goh Tong dan pasukannya terpaksa tinggal di dalam hutan dan juga di dalam gua. Kadang-kadang semasa menebas hutan dara yang tebal, ada pekerjanya yang terserempak harimau.
8. Dia kuli dialah bos.
Kerana projek ini dia punya, terpaksalah Lim Goh Tong menguruskan segala-galanya. Dia terpaksa bertindak sebagai sebagai pengurus projek, jurutera, pengawal kewangan, buruh serta penyelesai masalah.
9. Hampir maut berkali-kali.
6 kali Lim Goh Tong nyaris hilang nyawa. Satu kali dia hanya cedera ringan ditimpa pokok. tergantung dalam jip yang tergelincir dan tersangkut di cerunan dalam, brek kereta tidak makan dan hampir terhumban ke dalan gaung, hampir tertanam hidup-hidup di bawah runtuhan tanah, kepala ditimpa pokok buluh hingga tergigit lidah dan kepala berdarah-darah, kayu yang melantun dari rempuhan roda mesin penggorek yang tercabut menghentam pinggannya dengan kuat.
10. Pekerja maut jauh dari tingkat 14.
Seorang pekerjanya maut akibat jatuh dari tingkat 14 sebuah bangunan yang sedang dibina.
11. 7 tahun tanpa pendapatan.
Selama 7 tahun, dari 1965 hinggalah dibuka dengan rasmi pada tahun 1971, Lim Goh Tong telah berbelanja habis-habisan tanpa pulangan satu sen pun. Wang belanjanya diambil daripada pendapatan daripada Rancangan Pengairan Kemubu di Kelantan, jualan ladang getah seluas 810 hektar di Segamat, Johor dan pelaburan semua wang dari perlombongan besi, kerja sebagai subkontraktor dan perniagaan perkakasan. Kerana wang yang digunakan terlalu banyak, dia hampir muflis dan kesihatannya hampir terjejas.
12. Tanah runtuh di 180 tampat di jalan masuk Genting.
Akibat hujan ribut yang paling dasyat sejak seabad lalu, Lim Goh Tong terpaksa mengambil masa selama 4 bulan untuk membaiki kawasan yang rosak sebelum dibuka dengan rasmi pada 8 Mei 1971.
Buku ini tak dijual. Hanya koleksi berharga saya. Sayang tau…..
------------------------
Shafizu
Online Book Dealer
Tiada ulasan:
Catat Ulasan