Oleh HAFIZ AHMAD
Kosmo : 14/05/2014
SITI ROSMIZAH mengakui meskipun novel ini tebal tetapi ia digemari pembaca. |
BAIT lagu Setelah Aku Kau Miliki nyanyian Shima terngiang-ngiang sepanjang Siti Rosmizah Semail, 42, menyiapkan naskhah terbaharunya, Cukup Derita.
Secara kebetulan, nota muzik ciptaan komposer terkenal, Shaari Amri itu mempunyai perkaitan dengan plot penceritaan watak Ellani yang menderita akibat penderaan emosi dan fizikal.
Tempoh setahun diambil oleh Siti Rozmizah untuk menyelesaikan novel setebal 1,170 muka surat itu. Jarak waktu yang lama itu bagi menghasilkan sebuah novel yang baik dan lengkap dari segala segi.
“Tidak dinafikan novel ini memang tebal, tetapi ia disukai pembaca,” ujarnya yang juga seorang peguam sepenuh masa.
Ketebalan buku itu sempurna daripada susunan plot dan wataknya tidak berlingkar pada tunjang penceritaan semata-mata.
Malah, tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, setiap babak dan watak diperincikan agar pembaca memahami setiap gerak geri perjalanan kisah yang ingin diceritakan.
“Selain itu, saya hanya menerbitkan novel baharu setahun sekali. Maka, dengan ketebalan tersebut, pembaca berasa berbaloi menunggu lama,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran novel itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Proaktif
Novel terbitan syarikat penerbitan miliknya, SR Publication itu menceritakan mengenai kembar seiras, Ellani dan Ellana yang tinggal serumah bersama ibu saudara, Mak Ngah Gayah, selepas kematian ibu bapa mereka.
Ellana mendapat layanan istimewa sebaliknya Ellani sering didera sehingga emosinya terganggu.
|
Dalam pada itu, Siti Rosmizah turut mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan syarikat produksinya, SR One Sdn. Bhd. bagi mengadaptasi novel-novel terbitannya ke drama atau filem.
Ia susulan penerimaan yang memberangsangkan terhadap novel-novel di bawah syarikatnya hingga ada yang terjual melebihi 100,000 naskhah.
Sebagai permulaan, dua novel iaitu Rindu Tanpa Kata dan Setitis Kasih Darmis oleh penulis di bawah naungan syarikatnya telah diadaptasikan ke drama dan sedang menunggu tayangan di kaca televisyen tempatan.
Selain itu, salah satu novel Siti Rosmizah iaitu Takdir Itu Milik Aku bakal diterjemahkan dalam visual skrin filem dalam masa terdekat.
Mula menulis pada tahun 2008, dia kini sudah memiliki lima buah buku.
Memilih untuk menerbitkan sendiri drama dan filem, wanita berasal dari Kuala Lumpur itu memberitahu, ia lebih baik bagi menjaga keaslian dan kualiti yang sedia ada.
“Jika digalas di tangan orang lain, mungkin sedikit sebanyak bakal merubah struktur jalan cerita. Disebabkan itu, timbul keyakinan untuk melakukannya dengan usaha sendiri,” optimis Siti Rosmizah.
Selain novel Cukup Derita Itu yang berharga RM38.90, turut dilancarkan tiga naskhah baharu iaitu Penghujung Cintaku oleh Admatiza, Kekasihku Popular (Phidot) dan Ketika Takdir Menyapa (Jue Idzdihar).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan