Jumaat, 23 Mei 2014

MD - Bersederhanalah!

Edisi : Muhasabah Diri

Bersederhanalah!

Bersederhana dalam semua perkara. Dalam Islampun, bersederhana amat dituntut. Tidak berlebih. Mendekat kepada fanatik. Tidak berkurang. Mendekat kepada culas dan malas. Maka bersederhanalah. Mendekat kita kepada jalan hidup yang sempurna setidak-tidaknya menjauh petaka.

Bersederhana dituntut dalam banyak hal. Walaupun pengamalannya berbeza kepada invidu, tetapi umumnya khasnya kepada rakyat terbanyak, bersederhana perlu dijadikan jalan pengatur hidup.

Makan

Terlebih makan, kita akan kena penyakit. Bila terlebih makan, kebarangkalian makanan yang disumbat ke perut bercampur baur. Ada ok ada yang bakal menghenyakkan selesa perut. Perut akan memulas dan meragam. Kalau tak terlantar dirawat, jambanlah sekurangnya-kurangnya jadi mangsa lampias kita.
Terlebih makan juga, kita akan jadi malas. Cepat mengantuk. Didorong bermalasan ke tempat baring. Ibadat jadi terbarai.

Terkurang makan, letih lesu tak bermaya menyelimut tubuh. Nak bekerja letih. Nak ibadat letih. Hari-hari dilalui penuh lesu. Tubuh jadi cengkung meragut sinar wajah.

Maka bersederhanalah dalam makan. Makan semata-mata untuk cergas fizikal buat membanting tulang empat kerat mencari sesuap rezeki. Juga bekal tenaga saat kita beribadat kepada-Nya. Ikut sunnah nabi, makan semasa lapar, berhenti sebelum kenyang.

Tidur

Terlebih tidur, logiknya mata tak lagi ngantuk. Tubuh lagi cergas. itu logik. Tapi hakikatnya tubuh kita lagi letih. Lagi banyak masa kita tidur, tubuh lagi tak bermaya. Timbul rasa kemalasan yang amat.

Kurang tidur pula kesannya sudah terjangka. Kesannya pada mata terlihat kuyu, mata berpinar dan merah menyala. Kepala tersenggut-senggut diulit rasa mengantuk terus menerus. Semua kerja tunggang langgang. Sukar fokus. Kalau mandu di jalanan, risiko sangat tinggi. Bakal terbabas atau kemalangan yang boleh meragut jiwa. Ubatnya cuma satu. Biar mata lelap seketika agar mata kembali ceria.

Maka tidurlah secukupnya. Tidur yang ideal 6 jam - 8 jam. Lebih 8 jam tubuh tambah letih. Tidur kurang 6 jam, bagi yang tak biasa mata berpijar diserang mengatuk.

Ibadat

Terlebih ib
adat lagi baik sebenarnya. Malah para nabi, sahabat dan imam mujtahid dan ulama-ulamak besar ibadatnya mengatasi segalanya. Jika kita berhempas pulas bekerja 8 jam sehari di waktu siang, begitu juga kuatnya ibadat mereka di waktu malam takkala kita semua lena diulit mimpi.

Yang tidak digalakkan terlebih ibadat sampai mengganggu urusan lain yang lebih aula. Misalnya kita di pejabat. Kerja tuntutan wajib. Tapi kerana kita ahli ibadat, kita mencuri-curi masa buat solat sunat di waktu kerja. Tidak menjadi masalah buat solat sunat tapi masa yang terambil sewajibnya diganti. Bahkan jika majikan tidak mengizinkan atas sebab ada urusan kerja yang lebih penting , mana-mana solat sunat wajar ditangguh.

Tapi hal yang sama tidak terpakai bagi solat fardhu. Seruan ALLAH wajib di utamakan berbanding seruan majikan.

Dengan kata lain, terlebih ibadat digalakkan dengan syarat kita benar-benar berilmu dalam perkara tersebut. Tanpa ilmu, ibadat tidak akan membawa apa-apa nilai buat diri.

Terkurangnya ibadat hanya menyusahkan kita saat kita berseorang di kubur. Ingat yang kita bawa bersama bukan harta kita yang bertimbun-timbun, bukan juga keturunan kita yang mulia, pangkat kita yang besar, kebolehan kita yang menakjubkan atau kawan-kawannya kita yang hebat-hebat. Itu semua tidak bererti. Yang kita galas buat bekal hanya amal kita.

Jika ibadat wajib terkurang, dan matinya kita tanpa sempat bertaubat, jawabnya meranalah nasib kita di sana kita kelak.

Jika ibadat wajib cukup tapi ibadat sunat berkurang, yakinkah kita ibadat wajib kita cukup sempurna. Jika ada lompang-lompang, dengan ibadat apa mahu ditampung ibadat wajib yang carik disana-sini.

Maka biarlah terlebih dalam ibadat dengan ilmu yang cukup, atau jika tidak mampu, bersederhanalah. Asalkan ibadat wajib biar sempurna. Ibadat sunat pula jangan ditinggal.
 

Kekayaan

Terlebih kaya, dibimbangi kita termakan hak orang lain. Banyak soal jawabnya di sana kelak. Utuk kaya bukan senang. Bila nafsu meraja apa saja jalan untuk kaya akan diredah. Bila kaya dan harta berjuta-juta, tiada siapa mahu miskin kembali. Ceritanya sama. Bila saja nafsu meraja, apa saja jalan akan diambil biar mantain kaya. Dosa dan pahala tolak ketepi.

Terlebih kaya juga dibimbangi mengganggu istiqamah kita dalam ibadat. Untuk uruskan kekayaan perlukan masa lebih. Kita disibukkan dengan meeting, jumpa orang besar-besar, lawat tapak projek dan macam-macam aktiviti yang lazim bagi orang-orang kaya. Mampukah kita bagikan masa antara kerja dan istiqamah beribadat - berjemaah di masjid, dengan kuliyah subuh, solat malam. Jika jawapannya ya, dan jawapan bagi harta yang kita dapat kita pastikan dari sumber yang halal juga ya, teruskan tapi umumnya terlebih kaya tanpa panduan agama yang kukuh hanya mengundang bala.

Terlebih miskin juga tidak digalakkan. Malah sabda Rasulullah, bermaksud: "Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran." - (Riwayat Abu Namin daripada Anas). Melainkan jika kita kaya tapi memilih hidup miskin, hidup miskin dengan sangkaan zuhud hingga mengabaikan tuntutan nafkah dan tanggungjawab makan minum anak isteri amat dicegah.

Maka bersederhanalah dalam mengumpul kekayaan. Tak perlu kumpul berjuta-juta sedangkan dari mana puncanya kita tidak ambil peduli. Bahkan harta kita akan jadi beban di akhirat kelak.

Bersederhanalah!

------------------------
Shafizu
Online Book Dealer

Tiada ulasan: