Memaparkan catatan dengan label Keratan Akhbar (perihal buku). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keratan Akhbar (perihal buku). Papar semua catatan

Isnin, 26 Januari 2015

KA - Hikayat Raja Babi 200 Tahun Diterbitkan Semula

Edisi : Keratan Akhbar
Malaysiakini : 26/1/2015


 


  Lebih 200 tahun, manuskrip lama kurun ke-18 Hikayat Raja Babi yang lama tersimpan di perpustakaan British akan diterbitkan semula buat pertama kalinya dalam tulisan rumi April ini.

Tulisan seorang pedagang Jawa Usup Abdul Kadir pada 1775 itu akan dapat ditatap semula hasil inisiatif sebuah syarikat buku bebas bagi menyemarakkan dunia sastera tanah air.

Pemilik FIXI Amir Muhammad (kanan) berkata pihaknya merumikan tulisan dalam skrip Jawi itu bagi memudahkan pembacaan kerana ia mengetengahkan kisah menarik.

Hikayat Raja Babi bukan seperti beberapa hikayat lain seperti Sejarah Melayu yang ditaja oleh pihak istana, kata Amir.

Sebaliknya, tambah beliau, ia diusahakan sendiri oleh pengarangnya.

Hikayat  Raja Babi (merupakan) seorang manusia yang disumpah menjadi seekor babi, seorang yang sangat prihatin, gagah perkasa dan bijaksana,” katanya.

Amir berkata beliau memutuskan untuk menerbitkan semula karya itu setelah membaca artikel mengenainya dalam sebuah laman web yang menggalakkan perbincangan terbuka Projek Dialog pada November 2013.

FIXI merancang mengeluarkan 3,000 naskhah untuk cetakan pertama buku 200 halaman itu dan mengambil masa dua bulan untuk dirumikan.

Buku 200 muka surat itu dirancang turut memuatkan ilustrasi menarik.

Ia dirumikan oleh seorang penterjemah Arshad Pendang yang dapat membaca tulisan Jawi lama.

Hikayat Raja Babi dijadual akan menemui pembaca di pesta buku antarabangsa pada 24 April di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Khamis, 17 Julai 2014

KA - Baca Buku Guna Peranti Samsung

Edisi : Keratan Akhbar 
Kosmo : 9/7/2014
Oleh Hafiz Ahmad



PENGUNJUNG hanya perlu mendaftarkan kad pengenalan dan e-mel untuk menggunakan perkhidmatan di PBS.


KUNJUNGAN ke Perpustakaan Negara, Jalan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur Jumaat lalu sedikit berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Langkah yang diatur ke Pusat Hipermedia di tingkat dua terhenti apabila terlihat satu ruang baharu yang menarik pandangan mata.
 
Berkeluasan 1,207 meter persegi, ruang yang dinamakan Perpustakaan Bestari Samsung (PBS) itu tampak moden dengan dipenuhi puluhan gajet berteknologi tinggi seperti tablet, komputer dan komputer riba.
 
Tambah menggembirakan hati remaja Husna Iwana Mohd. Johan, 17, apabila melihat ruang interaktif e-majalah dengan hanya perlu menyentuh pada skrin Samsung LFD (paparan format besar) bersaiz 46 inci.
 
“Selain dapat memilih majalah digital yang digemari, saya juga boleh menonton video yang ada dalam naskhah tersebut,” ujarnya ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.
 
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, Kuala Lumpur itu memberitahu, pembukaan PBS membuatkan pembelajarannya lebih mudah dan cepat berbanding kaedah lama.
 
Sering mengulang kaji di Pusat Hipermedia sebagai persediaan Sijil Pelajaran Malaysia bersama-sama rakan sekelasnya, Husna menambah, dia tidak perlu lagi mencari bahan atau buku fizikal kerana ia boleh didapati secara digital di PBS.
 
“Bahan rujukan boleh diakses menggunakan gajet-gajet yang terdapat di PBS. Ia senang digunakan kerana fizikalnya yang lebih kecil dan mudah alih,” ujar gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu lagi.
 
Kata Husna, di Pusat Hipermedia pengguna hanya boleh mengakses internet menggunakan komputer tetapi di PBS, mereka juga dapat mencuba gajet-gajet yang terdapat di ruang itu.
Perkara sama turut diakui oleh Mark Pathianathan, 15, yang pertama kali datang ke Perpustakaan Negara ditemani rakan sekelasnya, Victor Chua Min Chun, 15.
 
Canggih


SEBANYAK 60 peranti disediakan di PBS untuk kegunaan pengunjung mengakses bahan bacaan digital seperti e-majalah, e-akhbar dan laman web.


Menurut Mark, dia tidak menyangka Perpustakaan Negara mempunyai fasiliti yang canggih dengan kelengkapan peranti berteknologi tinggi daripada Samsung.
 
“Sebelum ini, kakak saya ada memberitahu bahawa dia sukar mencari bahan rujukan di perpustakaan. Sejak adanya PBS, ia telah menyelesaikan masalah tersebut,” ujarnya.
 
Kedua-dua pelajar SMK Datuk Lokman, Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu berkunjung ke Perpustakaan Negara untuk mencari bahan rujukan bagi kerja kursus Bahan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mengenai sejarah perpaduan kaum.
 
Selain mencari bahan melalui buku-buku, mereka turut mendapatkan maklumat secara dalam talian di ruang kerja yang menempatkan empat unit Book 9 Lite Touch dan komputer meja AIO ATIV One 5.
 
Bagi seorang pengunjung, Hailmy Rizuan, 33, PBS boleh dijadikan satu tarikan kepada orang ramai terutamanya generasi muda untuk datang ke Perpustakaan Negara.
 
Ujar ahli perniagaan itu, usaha Samsung tersebut dilihat membawa anjakan baharu kepada industri pembukuan dengan merancakkan lagi pendigitalan bahan bacaan.
 
“Bagaimanapun, ia perlu seiring dengan penghasilan bahan bacaan bercetak kerana jika tidak, pasti akan mewujudkan jurang penerbitan antara kedua-dua medium ini,” ujarnya.
Dilancarkan pada 16 Jun lalu, PBS terbahagi kepada empat konsep khusus iaitu kanak-kanak, interaktif, bacaan dan kerja.
 
Percuma


RUANG untuk kanak-kanak ini menempatkan tiga unit Galaxy Tab 3 Kids dan 12 unit Galaxy Tab 10.1.


Setiap ruang tersebut diletakkan peranti terkini Samsung yang boleh digunakan secara percuma oleh pengunjung.
 
Terdapat lebih 60 peranti Samsung untuk para pengguna yang terdiri daripada pelbagai model tablet dan skrin berformat besar.
 
Di ruang kanak-kanak yang membolehkan pengunjung berumur sembilan hingga 12 tahun menggunakan tiga unit Galaxy Tab 3 Kids dan 12 unit Galaxy Tab 10.1.
 
Peranti tersebut dilengkapkan dengan perisian permainan video dan bahan bacaan digital ringan yang menghiburkan pengguna.
 
Lebih 2,500 e-book pelbagai genre dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina disediakan di zon bacaan. Kandungan sampingan seperti e-majalah, e-akhbar dan laman web interaktif boleh diakses di zon interaktif.
 
Zon kerja pula menyediakan Office Suite dan penerbitan e-book untuk para penulis berbakat.
 
Pengguna hanya perlu mendaftarkan e-mel dan nombor kad pengenalan untuk menggunakan perkhidmatan yang terdapat di PBS.
 
Setiap peranti yang digunakan, diperuntukan masa selama tiga jam bergantung kepada keadaan dan keperluan.
 
Menurut Pembantu Perpustakaan, Nurul Huda Ahmad Zainuddin, 32, jika jumlah pengguna tidak terlalu ramai, mereka boleh menggunakan peranti melebihi masa yang diberikan.
 
“Selepas tiga jam, peranti yang digunakan akan mengeluarkan pop-up sebagai peringatan untuk proses pemulangan,” ujarnya.
 
Sejak dilancarkan, PBS menerima jumlah pelawat yang menggalakkan terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah.
 
Setakat ini, lebih 300 orang telah menggunakan perkhidmatan percuma tersebut. 

Perpustakaan Negara mempunyai 95,984 bahan digital daripada jumlah keseluruhan 4.05 juta unit bahan bacaan.
 
Dari semasa ke semasa, lebih banyak bahan-bahan bacaan digital diterbitkan sebagai kemudahan kepada pembaca
.

KA - Usaha ITBM Memartabat Industri Buku Tempatan

Edisi : Keratan Akhbar
Utusan.com.my : 13/07/2014
Oleh Hafizahril Hamid


PUTERI Mako ketika melawat Pavilion Malaysia dan diberi penerangan oleh Mohd Khair.


SEPANJANG seminggu penulis berkampung di Tokyo, Jepun menyertai Pesta Buku Antarabangsa Tokyo Ke-21 (PBAT-21) yang berlangsung pada 2 hingga 5 Julai lepas, tenyata ia membuka mata tentang usaha dan kewibawaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam membawa nama negara demi memartabatkan industri perbukuan Malaysia.

Sepanjang di sana, hakikatnya nama ITBM sendiri sudah cukup besar dan dikenali oleh rata-rata pemain industri buku di negara Matahari Terbit itu.

Lebih menarik lagi gabungan budaya antara dua negara ini turut menjadi perhatian ramai apabila berlangsungnya gabungan persembahan Wayang Kulit dan teater boneka Jepun, Edo Ito Ayatsuri Ningyo di Pavilion Malaysia pada setiap hari.

Menjadikan nama negara terus terlakar harum di bumi Jepun apabila hasil karya kartunis legenda negara, Datuk Mohd. Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, Kampung Boy yang diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Tokyo University of Foreign Study (TUFS) bakal dijadikan bahan bantuan pengajaran kepada penuntut Pengajian Asia Tenggara di universiti berkenaan.

Semua ini adalah antara kejayaan besar yang dicapai oleh ITBM dalam menjayakan misi ke PBAT kali ini memandangkan buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia terpilih sebagai Negara Tema di PBAT tahun ini.

Ini sekali gus membuktikan kerja keras yang dilakukan oleh ITBM dalam memartabatkan industri buku negara selama ini mendapat pengiktirafan antarabangsa selain dianggap sebagai pemain utama bagi pihak negara dalam soal perbukuan selain penterjemahan.

Sesungguhnya kejayaan ini turut mencatat sejarah tersendiri bagi negara kerana Malaysia merupakan negara ASEAN pertama ditawarkan status Negara Tema sepanjang lebih 20 tahun penubuhan PBAT.

Status Negara Tema tidak dianugerahkan setiap tahun, sebaliknya calon akan disenarai pendek berdasarkan kriteria tertentu sebelum pemilihan dan tawaran dibuat," kata Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Menurut beliau, status Negara Tema hanya diwujudkan sejak 1998 dengan Perancis sebagai pendahulu, manakala Malaysia di senarai yang kesembilan dan dipilih daripada lebih 25 negara yang menyertai pesta buku tersebut.

Selain Perancis dan Malaysia, tujuh negara lain ialah Belanda pada 2000, Itali (2001), Jerman (2005), Mesir (2009), Arab Saudi (2010), Sepanyol (2011), dan Korea (2013)," katanya.

Bakat besar

Ujar Mohd. Khair, menjadi Negara Tema di PBAT membuka jalan yang menyeluruh kepada Malaysia untuk memperkenalkan sastera tempatan dalam konteks lebih besar kepada industri buku antarabangsa selain memberi peluang mengetengahkan bakat besar yang ada pada penulis-penulis kita .

Malaysia menikmati banyak kelebihan, khususnya promosi dan publisiti yang penting dalam membantu jentera pemasaran, kerana telah menjadi tradisi di PBAT, Negara Tema akan diberi liputan meluas oleh media tempatan dan antarabangsa yang berpusat di Tokyo, katanya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puteri Mako yang mewakili ayahandanya yang juga Presiden PBAT, Putera Akishino sebelum berkunjung ke Pavilion Malaysia.

Ujar Mohd Khair lagi, sasaran sebanyak RM6 juta disasarkan dalam misi urus niaga hak cipta berikutan penyertaan delegasi sebanyak 20 wakil penerbitan yang secara keseluruhannya membawa lebih 1,500 judul buku termasuk e-book.

Selain itu kata Mohd. Khair, peluang ini juga akan gunakan sepenuhnya untuk mempromosi negara selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Ini kali pertama konsep mempromosi pelancongan negara digabungkan dengan gerak kerja pemasaran produk penerbitan. Justeru, setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Tourism Malaysia kerana sudi bekerjasama menjayakan misi dagang yang mampu membuahkan hasil positif kepada semua pihak," ujar Mohd Khair.

Selain itu konsep santai yang menonjolkan keindahan dan keunikan seni serta budaya negara diketengahkan delegasi Malaysia pada PBAT kali ini turut mendapat pengiktirafan dan pujian daripada orang ramai yang hadir.

Ujar Mohd Khair, idea yang pertama kali diketengahkan ini bertujuan menarik minat pengunjung untuk melawat ke gerai-gerai pameran buku sekali gus mengenali Malaysia dengan lebih dekat.

Dalam usaha mengetengahkan hasil karya negara untuk dijual di pasaran antarabangsa kita perlu bijak menggabungkan idea selain perlu kreatif untuk menarik ramai orang datang.

Orang Jepun lebih tertarik kepada pantai dan keindahan serta kehijauan alam semula jadi, oleh itu kita ketengahkan konsep santai yang sudah pasti berbeza daripada negara-negara lain, “katanya.

Menurut beliau, misi utama adalah untuk memperluaskan pasaran hak cipta penerbitan Malaysia ke peringkat antarabangsa, jadi usaha yang berterusan ini memerlukan komitmen yang tinggi dan itu adalah kriteria utama pemilihan Malaysia sebagai negara tema pada kali ini.

KA : Semua Buku Boleh Diadaptasi

 Edisi : Keratan Akhbar
utusan.com.my : 22/06/2014
Oleh Rasdan Ahmad
rasdan_utusan@yahoo.com


Tanda Putera gagal sebagai filem propaganda.
 

SEBENARNYA semua jenis buku boleh diadaptasi kepada drama mahupun filem. Tidak ada sekatan khusus untuk mengangkat karya teks kerana ada filem yang diadaptasi daripada buku menjadi filem yang hebat.
 
Bagaimanapun menurut pengarah filem, Amir Muhammad, walaupun semua jenis buku boleh diadaptasi terdapat juga ciri-ciri yang sepatutnya dipilih oleh pengarah atau penulis skrip.
 
Amir sebelum ini pernah mengarahkan beberapa termasuk Lelaki Komunis Terakhir adaptasi dari memoir Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan The Big Durian.
 
Ciri pertama adalah buku bukan fiksyen, mungkin di Malaysia buku-buku seumpama ini masih jarang diadaptasi. Sebagai contoh buku biografi seseorang tokoh.
 
Walaupun buku seperti ini membawa persoalan berat tetapi industri filem Hollywood misalnya sudah mencubanya dan ternyata hasilnya memberangsangkan seperti filem The Social Network, Lincoln dan The Lady.
 
Menurut Amir, filem-filem ini diadaptasi dari buku yang hanya fokus kepada satu kejadian atau kisah yang membabitkan tokoh berkenaan.
 
Filem-filem yang diadaptasi dari buku bukan fiksyen ini hanya memetik satu aspek atau satu period perjalanan sahaja dan tidak mencampur aduk dengan kisah-kisah lain.
 
Namun apa yang berlaku kepada industri filem tempatan cukup berbeza, adaptasi dari buku bukan fiksyen ini kurang berjaya penghasilannya.
 
"Sebagai contoh filem Tanda Putera yang ditayangkan tahun lalu. Filem ini tidak fokus dan menyebabkan filem ini nampak longgar dan kosong," tegas Amir.
 
Tanda Putera dihasilkan dengan menggunakan dana yang disalurkan oleh Finas menceritakan mengenai Tun Razak dan Tun Dr Ismail.
 
"Lebih menariknya kalau filem diadaptasi dari The Reluctant Politician - Tun Dr Ismail and His Time yang ditulis oleh Ooi Kee Beng. Buku ini hanya fokus bagaimana Tun Dr. Ismail yang sakit masih tetapi mampu mentadbir negara ketika itu," jelasnya.
 
Tambahnya lagi, propaganda politik dalam Tanda Putera gagal sama sekali malah langsung tidak membawa kepada propaganda sebenar.
 
"Filem ini dibiayai oleh sebuah parti dengan menggunakan dana rakyat tetapi gagal memberi manfaat kepada kita," kata Amir.
 
Ini berbeza dengan filem Lincoln bagaimana propaganda berjaya diterap melalui filem ini. Walaupun hanya fokus kepada satu aspek sahaja tetapi memberi kesan yang sangat besar.
Filem Lincoln tidak menunjukkan perjalanan untuk berada di bangku presiden malah babak kematiannya juga tidak ditonjolkan kerana pengarah menganggap babak itu tidak penting.
 
Tambahnya, filem Leftenan Adnan merupakan contoh filem yang berjaya dihasilkan di Malaysia kerana hanya fokus kepada satu aspek sahaja dan tidak melarat kepada cerita-cerita yang tidak penting.
 
Buku picisan
 
Ciri kedua ialah buku pop ataupun sastera. Pelbagai perdebatan telah berlaku melalui kedua-dua ciri buku ini.
 
Pengarah Hitchcock misalnya pernah mengatakan bahawa dia tidak perlu mengadaptasi novel-novel besar kerana buku-buku itu sudah lengkap dan tidak perlu difilemkan lagi.
Hitchcock menyarankan agar ambil sahaja novel-novel picisan atau buku-buku biasa seperti yang dilakukan dalam filem arahannya, Pyscho dan Rear Window.
 
Bagi Hitchcock, buku-buku biasa seperti ini hanya plot, tiada eleman psikologi yang mendalam atau tema yang terlalu rumit. Tugas pembikin filem adalah mengambil plot yang kecil ini menjadikan sesuatu yang besar dan istimewa.
 
Seperti apa yang dilakukan terhadap filem Vertico, buku asal yang menggunakan tajuk yang sama merupakan sebuah buku yang teruk dari segi ceritanya, namun apabila diadaptasi, Vertico menjadi filem yang hebat dan memberi kesan yang besar.
 
Tambah Amir lagi, salah satu ciri atau teknik yang menjadikan karya adaptasi ini berjaya adalah dengan mengambil sastera teks agung dari budaya luar dan diadaptasi dalam budaya setempat.
 
"Teknik ini sememangnya berjaya, lihat sahaja kepada filem Iran, Sara. Filem ini diadaptasi dari novel tentang suasana pada kurun ke-19.
 
"Suasana tersebut telah dimasukkan ke dalam budaya Iran pada tahun 1990-an, ternyata teknik ini berjaya dan filem tersebut dekat dengan budaya di Iran termasuk wanita yang tidak dibenarkan keluar rumah," jelasnya.
 
Secara berseloroh, kata Amir, ciri buku terakhir yang boleh diadaptasi ialah buku yang penulisnya telah meninggal dunia.
 
Ini kerana kebanyakan penulis novel tidak berpuas hati dengan adaptasi dari novel mereka. Sekiranya penulis sudah tidak ada lagi, isu tidak puas hati itu tidak timbul lagi.
 
"Di Makassar saya pernah ditanya ciri buku yang paling elok untuk diadaptasi. Saya jawab paling elok ialah penulisnya sudah meninggal dunia. Bagi saya faktor ini penting kerana saya tidak mahu penulisnya memberi komen rasa kecewanya.
 
"Contoh di Barat ialah penulis Anne Rice yang sanggup membeli ruang iklan agar penonton tidak menonton filem yang diadaptasi dari novelnya padahal dia sudah dibayar," jelas Amir.
 
Ini menunjukkan sebahagian besar penulis novel tidak akan berpuas hati apabila karya mereka diadaptasi walaupun hakikatnya itu sebuah karya baharu yang hanya meminjam semangat dan pemikiran penulis karya asal.

KA - Adaptasi Bukan Menyalin Novel

Edisi : Keratan Akhbar
utusan.com.my : 15/06/2014
Oleh Rasdan Ahmad
rasdan_utusan@yahoo.com


PANEL yang terlibat dalam Seminar Hak Cipta Dari Novel Ke Skrin (dari kiri) IShak Hamzah (moderator), Syahid Johan, Sabri Yunus dan Kamal Ishak.
 

MENERBITKAN drama adaptasi daripada novel popular telah menjadi fenomena. Pengarah dan penerbit berlumba-lumba mengadaptasi novel kerana drama adaptasi mendapat sambutan yang memberangsangkan. Ini juga dikatakan satu persaingan positif industri penerbitan drama negara ini.
 
Namun banyak filem dan drama yang dihasilkan adalah melalui adaptasi daripada novel-novel cinta remaja yang tidak mempunyai nilai pemikiran yang tinggi.
 
Jarang sekali filem serta drama yang diadaptasi daripada novel-novel yang dihasilkan oleh sasterawan hebat antaranya Sasterawan Negara (SN).
 
Hakikatnya membikin sebuah filem dan drama daripada novel merupakan satu perkara yang cukup sukar.
 
Apabila sesebuah novel diadaptasi ke filem, maka ia adalah sebuah karya baharu yang menuntut alam dan pemikiran baharu. Barangkali semangat dan motifnya menjadi begitu berbeza dan ini sering mengganggu penulis novel.
 
Ini belum lagi novel besar jatuh ke tangan pengarah kerdil pemikirannya cuma bercita-cita besar. Hasilnya novel besar dirasakan hanyut bersama ketidaksampaian pengarah yang kerdil tadi.
 
Proses interpretasi daripada naratif teks kepada visual tidak boleh berlaku secara mudah. Ini bukan sekadar memindahkan tetapi di tengah-tengahnya harus ada interpretasi baharu. Penulis novel wajar menerima hakikat bahawa novelnya akan melahirkan karya baharu.
Maksud adaptasi adalah membaca karya novel asal kemudian menghasilkan skrip hasil interpretasi dan dibawa dalam bentuk visual (filem/drama).
 
Namun karya adaptasi yang dilakukan oleh pengarah tempatan tidak ubah seperti menyalin bulat-bulat apa yang terkandung di dalam novel asalnya.
 
Penulis skrip hanya menghasilkan skrip daripada apa yang ada di hadapan mata sahaja menyebabkan kebanyakan skrip dan drama tidak membawa jiwa dan pemikiran pengarang.
Sebab itu hanya pengarah hebat saja mampu mengadaptasi novel yang hebat. Pengarah 
sememangnya boleh menambah, mencantas atau mengalih tumpuan sesebuah novel.
 
Tetapi kerja mencantas memerlukan ilmu. Tanpa ilmu mencantas atau menambah seumpama tikus memperbaiki labu. Maka kebebasan itu bukanlah sembarangan orang boleh melakukan.
 
Bagi pengarah Kamal Ishak, hal ini tidak ubah seperti memindah karya asal novel kepada bentuk visual semata-mata - tiada yang lebih atau tiada yang kurang.
 
Jelas Kamal, sepatutnya penulis skrip adaptasi perlu memahami kehendak penulis asal novel tersebut dan menghasilkan satu bentuk wacana baru.

Sepatutnya penulis skrip adaptasi ini perlu bijak dan bukan hanya memindahkan cerita asal novel ke dalam skrip. Itu hanya menyalin karya asal bukannya adaptasi.

Sepatutnya diselitkan satu wacana dan pemikiran baru, biar skrip adaptasi itu ada jiwanya yang tersendiri dan itu barulah yang dinamakan adaptasi.

Penulis perlulah menjadi seorang pemikir dan bukannya ambil karya novel bulat-bulat," jelasnya pada Seminar Hak Cipta Dari Novel Ke Skrin di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, Rabu lalu.
 
Bagi Kamal, penulis skrip merupakan orang yang paling penting dalam proses penghasilan karya adaptasi. Skrip yang ditulis itu akan dijadikan panduan utama kepada pengarah dalam proses pengvisualan.
 
Tiada pengarah yang membawa novel asal ke set penggambaran sebagai panduan, skrip yang dihasilkan oleh penulis skrip merupakan panduan serta faktor utama kejayaan sesebuah filem adaptasi itu.
 
Mendidik penonton
 
Jika kita lihat hari ini novel yang bercorak pop kerap menjadi pilihan kepada pengarah serta penerbit filem tempatan namun sebenarnya pengkarya dan penerbit perlulah mempunyai tanggungjawab.
 
Pengarah perlul mendidik penonton dengan karya-karya sastera yang bernilai tinggi.
Stesen televisyen juga perlu memainkan peranan ini kerana televisyen merupakan medium yang rapat dengan penonton, lebih-lebih lagi tontonannya adalah percuma.
 
Bagi pengarah, Sabri Yunus, untuk menghasilkan drama adaptasi pengarah perlu bijak melaksanakan tugasnya dalam membuat interpretasi karya asal.
 
Seperti yang dilakukannya dalam novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS), Sabri memberitahu, kerja adaptasinya sangat sukar untuk membawa pemikiran pengarang dalam medium berbeza.

Saya akui ada juga yang tidak suka dengan apa yang saya tambah dan hasilkan melalui drama HHTSS. Namun saya boleh berpuas hati dengan hasilnya.

Adaptasi daripada novel ke skrip memang ternyata tiada masalah tetapi daripada skrip ke bentuk kepada drama merupakan satu cabaran yang besar.

Banyak penonton hanya menumpukan kepada pelakon dan cerita sahaja, bahasa filem mereka semua tidak peduli.

Barangkali pengarah yang menghasilkan karya adaptasi daripada novel pop tiada masalah tetapi untuk adaptasi novel besar seperti ini memang cukup sukar," ujarnya.
 
Tambah Sabri, perkara seperti itu yang akan menyukarkan pengarah untuk mengimbangi nilai popular kerana penonton sudah dididik dengan karya-karya ringan.
 
Padahal filem yang bagus adalah yang cukup dekat dengan masyarakat. Sebagai contoh adalah filem Indonesia Laskar Pelangi.
 
Walaupun kita melihat jalan ceritanya agak biasa namun filem ini ada jiwanya sendiri. Jadi tidak hairanlah jika Laskar Pelangi menjadi antara filem paling laris di Indonesia.
 
Berbanding filem-filem yang dihasilkan oleh pengarah tempatan yang banyak bermotifkan keuntungan semata-mata tanpa menerapkan jiwa dalam karya mereka.
 
Justeru penulis skrip dan pengarah perlulah menjadi pemikir dan bukan hanya memberi arahan action dan cut semata-mata. Naskhah filem akan menjadi kosong sekiranya pengarah tidak memahami sastera dan tidak menerapkan nilai sastera dalam arahan mereka.

KA - Cabaran Buku Pada Era Digital

Edisi : Keratan AKhbar
utusan.com.my : 15/06/2014
Oleh : Dr. Anwar Ridhwan


Kedatangan teknologi percetakan moden telah melakar pengaruhnya terhadap persuratan dan sastera rantau ini. Aktiviti percetakan sebenarnya telah bermula di China sejak abad keenam. Bagaimanapun Barat tidak meniru percetakan China, sebaliknya terpengaruh oleh cetakan blok Mesir (sejak 1300) yang melahirkan cetakan blok di Barat pada 1375. 

Kemudian barulah usaha-usaha inovasi dilakukan oleh Gutenberg yang mula mengeluarkan mesin cetaknya pada 1475. Sejak itu mesin cetak dan aktiviti percetakan mula berkembang di Eropah, dibawa ke Amerika Utara, dan dibawa pula oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu, dan penjajah Belanda ke Indonesia.

Kedatangan mesin cetak dan percetakan yang dihasilkannya, telah mengubah budaya peribumi, khususnya Melayu. Jika selama ini sebahagian besar peribumi berada dalam budaya mendengar (ear culture) melalui cerita-cerita pelipur lara, maka mereka mula berubah kepada budaya melihat (eye culture) yang memerlukan kemahiran membaca.

Kata orang, untuk melihat sama ada sesuatu kebiasaan itu akan berkesinambungan atau pun tidak, lihatlah perlakuan generasi mudanya. Generasi muda kita hari ini bolehlah dikatakan diwakili oleh ‘generasi Y’, yang dilahirkan pada lewat tahun 70-an dan 80-an atau awal milennium ini.

Dalam konteks tulisan ini kita ingin melihat hubungan ‘generasi Y’ dengan budaya cetak. Secara ringkas budaya cetak merangkumi pelbagai teks bercetak dan bentuk bercetak yang dikaitkan dengan komunikasi visual. Ini bermakna ia bebas daripada tradisi oral, lebih-lebih lagi selepas mesin cetak yang mula dicipta sekitar pertengahan abad ke-15, antara yang terkenal ialah ciptaan Johannes Gutenberg, dapat mengeluarkan bahan bercetak dengan banyak.

Mesin cetak yang dapat memproduksi dengan banyak bahan bacaan dalam pelbagai bidang dan untuk pelbagai peringkat pembaca, telah merevolusikan cara manusia mendapat ilmu pengetahuan dan hiburan. Sastera Melayu yang sebelum itu dikembangkan melalui tradisi oral atau penyalinan manuskrip secara manual, turut mengalami perubahan ketara. Sehingga Ismail Hussein memilih karya Abdullah Munsyi yang tersebar melalui budaya cetak sebagai pemula sastera Melayu moden terutamanya Kisah Pelayaran Abdullah (1838) dan Hikayat Abdullah (1849).

Kini lihatlah ‘generasi Y’ kita. Adakah mereka menggunakan jari untuk menyelak lembaran buku, akhbar atau majalah? Adakah mereka menggunakan hidung untuk mencium bau kertas terutamanya pada buku yang baru dibeli? ‘Generasi Y’ ini secara anakronisme dibawa ke masa lampau untuk memasuki budaya cetak hanya dalam situasi yang formal, umpamanya membaca buku teks sekolah; atau situasi kurang formal, umpamanya membaca novel-novel remaja kegemaran mereka. Tetapi kita harus ingat bahawa budaya cetak dalam kedua-dua situasi tersebut pun sedang berubah.

Generasi ini mula menjauhkan diri dari budaya cetak kerana beberapa sebab. Bagi generasi muda yang kurang berada sama ada di luar bandar atau di dalam bandar - membeli buku bukanlah keutamaan mereka; lebih-lebih lagi apabila tradisi membaca belum membudaya dengan kuat dalam masyarakat kita. Di samping itu kemudahan Internet yang disediakan oleh kerajaan, atau kafe internet telah sampai ke desa dan pedalaman. Bagi generasi muda daripada keluarga berada, mereka boleh menambah kemudahan itu dengan memiliki iPod, iPhone dan sebagainya.

Sekarang kita biasa melihat ibu bapa menyediakan iPad atau tablet untuk anak-anak mereka. Di restoran, sambil menunggu makanan yang dipesan sampai, anak-anak ini leka menggerak-gerakkan jari atas skrin iPad. Mereka leka dengan permainan, bukan membaca. Ertinya mereka tidak lagi berada dalam tradisi budaya cetak.

Sudah sampai masa untuk pihak yang bertanggungjawab terhadap budaya baru ini, umpamanya Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat soal-selidik menyeluruh tentang nasib budaya cetak dan potensi masa depan ICT di negara kita. Dapatan daripada soal-selidik itu nanti dapat dimanfaatkan untuk merancang kelangsungan budaya cetak, serta memperkasa budaya baru seputar teknologi ICT.

Tanpa soal selidik yang menyeluruh, timbul persepsi yang agak negatif terhadap nasib masa depan budaya cetak di negara ini. Persepsi ini hanya disandarkan pada situasi semakin kurang jumlah pengunjung ke perpustakaan, jumlah kedai buku yang tidak meningkat, serta kurangnya minat membaca buku oleh generasi muda termasuk mereka yang sedang menuntut di IPT.

Persepsi tersebut lama kelamaan mungkin akan menjadi benar. Ini kerana akhirnya pihak massa yang akan menentukan nasib sesuatu budaya, termasuk budaya cetak serta segala penerbitan konvensionalnya. Sebaliknya, penerbitan non-konvensional, seperti e-buku kelihatan semakin mengambil alih penerbitan konvensional itu. Ini sejajar dengan perkembangan teknologi elektronik dan digital seperti iPod, Skype, telefon bimbit, Tivo, iTunes, Photoshop, iPhone dan sebagainya lagi. ‘Generasi Y’ berada dalam medan ini.
Beberapa tahun yang akan datang, atau mungkin lebih awal lagi, untuk tidak terus meletakkan ‘generasi Y’ negara ini dalam situasi anakronisme, buku-buku teks sekolah pun harus diganti dengan e-buku di mana pelbagai bahan dapat dimuat-turun. Papan hitam atau white board harus diganti dengan skrin elektronik pintar. Inilah budaya baru pengajaran dan pembelajaran ‘generasi Y’ yang sedang berkembang di peringkat global.

Di peringkat global, terdapat beberapa projek yang secara serius membayangkan keyakinan bahawa masa depan penerbitan dan pembacaan adalah melalui dunia maya. Tiga daripadanya adalah Project Gutenberg, arXiv dan The Million Book Project.
Project Gutenberg merupakan layanan buku elektronik terbesar dan tertua yang mendukung buku elektronik secara bebas. Kini terdapat lebih dari 25.000 buku elektronik bebas yang dapat ditemukan dalam katalog onlinenya.

Projek arXiv yang terdapat di Universiti Cornell memberikan akes terbuka terhadap lebih 368,000 rujukan elektronik dalam bidang fizik, matematik, sains komputer dan biologi kuantitatif.

The Million Book Project’ pula merupakan projek sejuta buku yang dikembangkan oleh Universal Library, sebuah perpustakaan digital yang dpelopori oleh Universiti Carnegie Mellon di Amerika Syarikat, Universiti Zhejiang di China, Institut Sains di India, dan Perpustakaan Alexandria di Mesir. Di dalamnya terdapat rujukan dalam 16 bahasa yang koleksi bukunya sudah ada sejak terbitan abad 16.

Teknologi serta gaya hidup umat manusia terus berubah. Dalam suasana yang sedemikian, karya bercetak juga menghadapi perubahan yang radikal, terutamanya melalui peranan teknologi elektronik dan digital yang semakin meluas. Sementara peranan asasnya sebagai penyebar ilmu pengetahuan dan karya seni tidak berubah, karya bercetak harus mendefinisi semula wujud serta peranan masa depannya.

Buku bercetak mungkin tidak lenyap sepenuhnya, tetapi kita mesti menyedari potensi teknologi elektronik dan digital ini bagi generasi kini dan akan datang, kerana inilah medan masa depan mereka. Jika kita dapat menyediakan bahan perisian yang banyak dan lengkap bagi memenuhi keperluan intelektual, serta domain efektif, kognitif serta psikomoto mereka, maka mereka boleh kita harapkan sebagai anggota masyarakt berilmu yang boleh menunjang tamadun bangsa.

Penulis ialah Sasterawan Negara.

KA - Buku Makin Terpinggir

Edisi : Keratan Akhbar
Utusan.com.my : 30/05/2014

KEBERGANTUNGAN kepada buku sebagai sumber rujukan kini semakin berkurangan ekoran pelbagai fakta yang boleh diperoleh melalui internet.
 
 
“NAK dapat maklumat tu? Alahh Google je," kata seorang rakan apabila ditanyakan maklumat diinginkan. Jika 30 tahun lepas pencapaian internet mungkin menjadi sesuatu yang asing bagi kita semua namun kini ia sebenarnya hanya berada di hujung jari.

Lihat sahaja di sekeliling kita, baik yang kecil sehinggalah kepada yang berusia emas, rata-rata mempunyai gajet di tangan seperti telefon bimbit atau tablet yang canggih.

 Dunia tanpa sempadan! Mungkin itu ungkapan paling tepat dalam melayari internet ketika ini dan antara pertanyaan yang sering kali diucapkan terutama golongan muda ialah masih relevankah pencarian maklumat menerusi bahan rujukan buku.

Mungkin sesetengah pendapat mengatakan pencarian sebegitu sudah ketinggalan zaman malah perpustakaan awam yang wujud tidak lebih sebagai tempat menyimpan buku semata-mata dan leceh untuk ke sana bagi mencari bahan rujukan apatah lagi bahan yang ada begitu terhad dan tidak terkini.

Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Baharu, Tuan Nurul Nadia Tuan Asri, 23, berkata aplikasi pencarian maklumat melalui internet sememangnya menjadi pilihan utama beliau kerana ia menjimatkan masa.

Kebergantungan kepada buku sebagai sumber rujukan semakin berkurangan dalam setiap tugasan dan pembelajaran kerana aplikasi internet jauh lebih cepat dan mesra pengguna.
“Kita cuma perlu taip sahaja rujukan yang dikehendaki di pautan berkenaan dan semua maklumat akan diperoleh. Ia seperti buku bergerak," katanya yang sedang mengikuti jurusan kewangan.

Sumber rujukan buku yang agak terhad di perpustakaan dan tidak terkini juga menjadi faktor pelajar lebih cenderung menggunakan internet.

Seorang guru, Rozita Nasir, 30, pula berkata dengan adanya sistem carian maklumat melalui internet pelbagai bahan berguna dapat diperoleh untuk kegunaan pelajar.

Sebagai guru, pengurusan masa yang bijak amat perlu dan kecanggihan teknologi maklumat amat membantu.

Bukan kita menafikan kepentingan buku sebagai sumber rujukan tetapi tranformasi positif dalam teknologi semasa boleh dimanfaatkan," katanya yang bertugas sebagai guru Pendidikan Seni sejak empat tahun lepas.

Bagaimanapun, pendidik perlu bijak memilih maklumat bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pendidikan, katanya.


Gugat peranan buku

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Ruslan Hassan bagaimanapun melihat perkembangan teknologi itu tidak menggugat peranan buku sebagai sumber rujukan malah menjadi nilai tambah.

Tidak semua maklumat yang didapati dalam aplikasi carian maklumat tepat terutama untuk membuat kajian ilmiah.

Buku adalah sumber rujukan terjamin sedangkan terdapat banyak maklumat dalam internet boleh diedit oleh sesiapa," katanya.

Apa yang lebih penting adalah usaha menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat tanpa mengira apa sahaja bentuk dan kaedah pembacaan.

Saya percaya usaha mencari maklumat melalui pembacaan buku memerlukan tumpuan dan ketekunan sehingga dapat menjadikan pembaca lebih matang, kritis dan menghargai bahan yang dibaca.

Apa yang mungkin menjadi kebimbangan apabila pelajar mendapatkan sepenuhnya maklumat daripada internet secara mudah akan mewujudkan budaya plagiat (meniru) yang akan membantutkan perkembangan ilmu," tambahnya.

Kedua-dua kaedah itu harus diseimbangkan dan pengguna perlu bijak mengguna teknologi terkini dalam memartabatkan ilmu.

Namun beliau tidak menafikan perkembangan pantas teknologi maklumat turut membantu memartabatkan buku sebagai bahan rujukan seperti sistem E-Book.

Sehingga kini peranan perpustakaan dan buku sebagai rujukan masih releven kepada masyarakat terutama pelajar, jelas beliau. Di Kelantan terdapat tujuh cawangan perpustakaan negeri dan tiga perpustakaan desa yang terletak di Ciku, Gua Musang; Salor (Kota Baharu) dan Dabong di Kuala Krai selain 34 perpustakaan desa di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Menurut Laporan Ekonomi 2013/3014 Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2014, rekod bilangan pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012.

Laporan itu juga menyebut bahawa rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan akhbar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial.

Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial.

Seramai 11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari internet untuk mengakses Facebook. - Bernama
 

Isnin, 9 Jun 2014

KA - Buku Kulit Manusia

Edisi : Keratan Akhbar
Metro : 2014/06/06


Pakar di Universiti Harvard mengesahkan satu naskhah buku dari kurun ke-19 yang tersimpan di perpustakaan pusat pengajian elit itu menggunakan kulit manusia sebagai kemasan akhirnya.

Saintis menjalankan siri ujian ke atas buku karya penulis Perancis, Arsene Houssaye berjudul ‘Des destinees de l’ame’ yang tersimpan di perpustakaan Houghton.
Mereka sangat yakin bahawa bahan yang digunakan untuk kulit buku itu diperbuat daripada kulit manusia.

Menurut jurucakap perpustakaan berkenaan, Houssaye menyerahkan buku dianggap ‘meditasi jiwa dan kehidupan selepas mati’ kepada seorang rakannya yang bertugas sebagai doktor pada pertengahan 1880-an.

Dr Ludovic Bouland yang menerima naskhah itu menjilid buku berkenaan dengan kulit mayat seorang wanita pesakit mental yang tidak dituntut.

Bouland juga meninggalkan sekeping nota di dalam buku itu yang bertulis: “A book about the human soul deserved to have a human covering” (Buku mengenai jiwa manusia layak dibalut manusia).

Walaupun penjilidan buku menggunakan kulit manusia menakutkan pada zaman kini, jurucakap itu berkata, ia bukanlah sesuatu yang baru.

“Dinamakan sebagai anthropodermic bibliopegy, penjilidan buku menggunakan kulit manusia bermula sejak abad ke-16.

“Buku yang memuatkan pengakuan penjenayah juga kadang-kala dijilid menggunakan kulit penjenayah terbabit.

“Begitu juga individu yang mahu diabadikan dalam bentuk buku bagi keluarga atau kekasih mereka,” katanya.


Nota Bouland turut merujuk buku lain dalam koleksinya, De integritatis dan ‘Corruptionis virginum notis’ karya Séverin Pineau turut menggunakan kulit manusia.

Kulit yang digunakan pada buku abad ke-17 itu kini berada dalam koleksi Perpustakaan Wellcome di London.

Laporan akhbar universiti itu pada 2006 menyatakan, sekurang-kurangnya ada tiga naskhah buku di universiti berkenaan menggunakan kulit manusia.

Namun, Perpustakaan Houghton menyatakan, ujian ke atas dua lagi naskhah di Perpustakaan Fakulti Perundangan Harvard dan Perpustakaan Fakulti Perubatan Countway menunjukkan ia sebenarnya adalah kulit kambing.