Memaparkan catatan dengan label Muhasabah Diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhasabah Diri. Papar semua catatan

Khamis, 12 Februari 2015

Ketawaddukan Tuan Guru Nik Aziz Hingga Ke Nyawa Terakhir

Salam buat semua.



Jantung saya berhenti berdegup takkala mendengar berita tokoh ulama kesayangan ramai, yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kembali ke rahmatullah jam 9.30 malam  tadi. Kematian beliau betul-betul dimalam Jumaat, hari mulia kerana dapat terhindar dari seksaan dan fitnah kubur. Amin.

Pemergian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pasti ditangisi seluruh rakyat Malaysia. Satu kehilangan besar buat seorang tokoh ulamak yang sukar dicari ganti. Ketokohan, ketawaddukan, kelembutan dan juga kelantangan beliau memperjuangkan hak amat disegani kawan dan lawan. Bahkan pengaruh hebatnya dalam mencaturkan politik Kelantan amat dicemburui lawan.

Malah rekodnya memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun begitu membanggakan.

Jika ditanya kepada kawan saya pun, hampir semuanya amat sayang kepada tok guru walaupun dirinya sendiri biru karat.


Keistimewaan Tuan Guru

Kenapa Tuan Guru  Nik Abdul Aziz amat istimewa di mata rakyat Malaysia :

1.Memilih untuk terus tinggal di rumah kampung, rumah asal beliau. Rumah berdindingkan papan tanpa terisi kelengkapan rumah yang mahal-mahal. Yang ada hanyalah sebuah almari  dipenuhi kitab-kitab agama menghiasi sudut ruang tamu. Tiada pagar juga tiada pengawal.

2.Masih mengekalkan pakaian sunnah nabi – Hampir setiap masa berjubah dan berserban samada ke program parti maupun majlis-majlis rasmi lain.

3.Terus istiqamah mengajar kitab setiap malam Jumaat dan  Khamis, manakala kuliah pagi pula setiap Jumaat di masjid Pulau Melaka.

4.Ucapan serta ceramahnya begitu berkesan. Lantang, tegas, kadangkala lemah lembut diselang seli dengan unsur sinikal dan sindiran pedas yang mampu membuatkan peminatnya terhibur dan terpesona.

5. Menteri besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia seperti yang diiktiraf  Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK)

5. Mampu mengekalkan jawatan Menteri Besar Kelantan dalam tempoh lama - selama 23 
tahun, walaupun diasak hebat dengan pelbagai serangan dari pihak pemerintah.

6. Beliau diletakkan antara 50 tokoh paling berpengaruh di dunia tahun 2009 serta turut disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”

Untuk kita semua, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz ada  meninggalkan sedikit pesanan terakhir. Renung-renung dan amalkan.

"Teruskan perjuangan saya selepas saya tiada. Usia ambo 
kini lebih 81 tahun. Roh yang pergi pada malamnya jika 
tidak kembali, matilah ambo. Buatlah segala daya upaya
untuk memenangkan Islam di muka bumi ini sebelum
pergi bertemu Allah."


Marilah kita doakan semoga roh Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberkati dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Amin.

Jumaat, 23 Januari 2015

MD - Harga Segelas Air!


Edisi : Muhasabah Diri 

Salam sejahtera buat semua.
 

Ramai orang bertempik marah jika air kosong yang diminum kena cas sampai 50 sen hingga RM1 segelas. Mahal giler. Mencekik darah betul. Bukan sebab tiada duit untuk bayar tapi tak berbaloi untuk segelas air  kosong. Di sini duit lebih lebih berharga. 

Tapi bagaimana pula jika nyawa jadi taruhan. Berapa pula harga yang kita sanggup bayar hanya untuk segelas air. Jika nyawa jadi galang ganti, harga segelas air sanggup kita pertaruhkan walau berapapun harga yang perlu kita lunaskan.

Ada satu cerita menarik di zaman khalifah Harun Ar Rasyid tentang air. Saja saya nak kongsi. Kalau kita tahu harga segelas air yang sebenar disaat genting, kita tentunya akan lebih menghargai air.

Ceritanya begini. Satu hari, Al Imam Abu Yusuf Ra mendapat tahu khalifah Harun Ar Rasyid menunda waktu solat Asar. Al Imam Abu Yusuf rasa terkilan dengan sikap khalifah dan berniat untuk menegur.

Dia pun masuk berjumpa dan berbincang dengan khalifah dalam berbagai perkara. Ketika sedang berbincang itu, Al Imam Abu Yusuf minta segelas air. Setelah gelas air ada di tangannya, ia bertanya,
 "Ya Amirul Mukminin, kalau semua air di muka bumi ini tiada, kecuali segelas air ini, sedangkan anda haus sekali, berapa anda berani membeli air yang ada di tanganku ini?

Khalifah menjawab,
 "Aku berani membeli airmu ini dengan setengah kerajaanku!"

Abu Yusuf bertanya lagi,
 "Kalau air yang baginda minum itu tidak boleh keluar (tidak boleh buang air), berapa anda berani membayar doktor supaya boleh membuang air?"

Khalifah menjawab lagi,
 "Saya berani membayarnya dengan setengah kerajaanku ini!"

Al Imam Abu Yusuf kemudian berkata lagi,
 "Nah Amirul Mukminin, Allah Ta'ala telah memberikan air kepada baginda dan kepada seluruh rakyat kerajaan ini dengan meluas. Tetapi setelah diberi kenikmatan yang tiada taranya itu baginda "mensyukurinya" dengan menunda-nunda waktu solat Asar yang telah ditetapkan Allah Ta'ala!'
Imbang Penuh

***Moral ceritanya, selagi Allah beri kita nikmat air, bersyukurlah. Gunakan air sebaik mungkin dan jangan lupa Allah. Jangan biarkan air merajuk. Jika air merajuk sampai sukar dijumpai dan kita pula berada dalam situasi khalifah Harun Ar Rasyid, bukan setakat air kosong berharga seringgit kita boleh bayar, malah dengan kedai makan tu sekali kita sanggup bayar sebagai tukaran dengan segelas air.