Media percetakan bakal berkubur?
Mungkin ya. Mungkin tidak. Tapi harap-harap tidaklah. Kita masih perlukan bahan bercetak aka bahan kertas dalam sesetengah perkara. Tapi realiti tetap realiti. Tidak boleh dinafi. Dalam banyak hal, bahan bercetak semakin terpinggir. Bahkan ada yang telah pupus. Semuanya gara-gara ledakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang menggila.
Era Awal Bahan Kertas Dipinggir
Dulu, sebelum muncul komputer, untuk merekod apa-apa idea ataupun apa-apa saja bahan ilmiah, dokumen-dokumen rasmi, kita guna mesin taip. Bila ditaip huruf akan keluar. Bila dicetak berhelai-helai jadilah semua buku (secara tak rasmi) apabila siap dibukukan. Semua maklumat tidak boleh disimpan di dalam enjin mesin taip. Hendak tak hendak terpaksa cetak di atas kertas. Maka, penggunaan kertas amat penting waktu itu. Tanpa kertas siapalah mesin taip itu.
Namun, selepas wujud komputer, keadaan sudah berubah. Maklumat sudah boleh disimpan kejap. Boleh simpan banyak-banyak tanpa had. Justeru, pengguna ada pilihan. Maklumat yang telah siap ditaip itu boleh saja dipindah ke atas kertas atau dibiarkan saja di dalam hard disk komputer untuk sekadar ditatapi dan dibaca. Penggunaan kertas sudah terbatas. Semakin perlahan-lahan dipinggir.
Namun demikian, di luar sana, penggunaannya masih meluas. Sebab, semua dokumen berbentuk buku, borang-borang rasmi, surat menyurat masih lagi menggunakan kertas. Syarikat-syarikat percetakan masih ligat beroperasi. Kedai-kedai potostat tak menang tangan terima tempahan pelanggan. Tapi sampai bila?
Era teknologi maklumat yang memasuki abad 20-an sekali lagi kita saksikan perubahan besar-besaran dalam industri bahan bercetak. Banyak keadaan memperlihatkan bahan bernama kertas sudah tidak dipedulikan. Semuakan kerana hendak meraikan era digital yang dilihat semakin canggih dan lebih bertamadun.
Dunia Internet vs Percetakan Kertas
Dalam hal ini, realiti menjelaskan segala-galanya.
Ingat tak masa kita nak mohon universiti dulu, semua kena isi borang. Berkeping-keping. Letih tangan. Sekarang, semua isi dalam komputer. Bila butang "hantar" diklik, borang kita dah diterima untuk diproses. Hampir 100% dunia internet mengambil alih fungsi kertas (borang pendaftaran).
Kalau dulu, nak baca akhbar, akhbar mesti ada di tangan. Justeru, risiko tinggi terdedah kepada rosak. Terkoyak, terbasah, terhilang. Namun, dalam era digital, semua tersedia dalam pelayar internet. Klik saja laman-laman web syarikat akhbar mana yang kita nak baca. Terus kita boleh tahu berita semasa sama seperti kita baca akhbar yang dicetak. Begitu juga bahan majalah yang kita boleh layari saja melalui talian internet.
Namun demikian, bahan bercetak aka akhbar masih terus releven. Bukan semua orang ada komputer, dan ada bajet untuk memasang talian internet. Lebih penting rasa seronok dan feel membaca melalui akhbar di tangan tidak sama dengan hanya membaca dengan mengadap komputer. Sakit mata pun ada. Bahan kertas masih menang dalam situasi ini.
Kita tengok pula budak-budak sekolah. Dulunya masa kita kecil-kecil, bila pergi sekolah, beg sekolah punyalah berat. Kadang-kadang boleh tercabut bahu. Apanya tidak. Berkilo-kilo buku sekolah yang nak kita bawa.
Kini, budak sekolah boleh tersenyum puas apabila kerajaan umumkan untuk perkenalkan buku teks versi digital yang dikenali sebagai sistem 1BestariNet sebagai ganti buku teks bercetak. Pelajar boleh saja bawa peranti sendiri seperti tablet atau ipad dan hanya tinggal klik saja untuk akses sebarang mata pelajaran yang ingin mereka pelajari.
Era digital nampaknya tidak mengenal mangsa. Ia semakin merebak pula kepada dunia penerbitan buku. Lihat saja di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 baru-baru ini. Ada buku yang dijual secara elektronik berbentuk Al-Quran digital, buku-buku agama, DVD pendidikan yang pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada buku-buku bercetak.
Stephen King dan Novel-E
Dalam isu ini, saya tertarik dengan satu artikel Shaharom TM Sulaiman dalam bukunya Keanihan dan Keunggulan Buku. Ada diceritakan kisah saat Stephen King, penulis tersohor cerita-cerita seram, mula melancarkan novel-novelnya dalam format novel-E. Ramai penerbit jadi bimbang. Takut idea Stephen King lama-kelamaan akan menjejaskan periuk nasi mereka.
Telahan mereka seakan menjadi kenyataan bila novel-E pertamanya, Riding the Bullet dalam masa singkat telah didownload oleh 400 ribu orang peminat setianya. Lagi menarik semua hasil pendapatan masuk ke poket penulis tersohor ini kerana dia juga yang terbitkan novel-E ini melalui syarikatnya sendiri - Simon and Schuster.
Kepada penerbit yang masih merasa selesa, dengarlah khabar terburuk ini. Gudang buku Cambridge pun semakin perlahan-lahan melupus dan merobohkan gudang-gudang tempat simpanan buku mereka. Walhal Cambridge amat dikenali sebagai penerbit tertua dan terbesar di dunia. Namun, mereka terpaksa mengalah juga kerana tiada siapa boleh melawan arus teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang tidak lagi kenal kawan mahupun lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan